Burung lark. Foto e-bird

BERLIN – Pemilik kucing di sebuah bandar di Jerman akan dibenarkan untuk membiarkan haiwan peliharaan mereka keluar buat kali pertama dalam tempoh tiga bulan apabila pihak berkuasa membatalkan perintah berkurung.

Mei lalu, pemilik kucing  di Walldorf, diarahkan menyimpan kucing mereka di dalam rumah untuk melindungi burung jambul lark yang terancam pada musim pembiakan.

Arahan itu sehingga bulan Ogos dan langkah ini akan diulang untuk tiga tahun akan datang iaitu menyimpan kucing di dalam dari April hingga Ogos, lapor The Local.

Semasa musim pembiakan, burung ini bersarang di atas tanah.

Kucing hanya dibenarkan berkeliaran di luar dengan syarat diikat menggunakan tali panjang tidak melebihi dua meter (6 kaki).

Jika seekor kucing melarikan diri semasa sekatan berkuat kuasa, pemilik perlu untuk menghubungi talian khas, kemudian mencari dan kucing akan ditahan.

Sebarang pelanggaran arahan akan dikenakan denda.

Pihak berkuasa telah cuba untuk melindungi burung jambul lark yang semakin terancam di negeri Baden-Württemberg.

Mereka berkata, terdapat hanya tiga pasangan pembiakan di Walldorf.

Namun tindakan itu mendapat kritikan aktivis yang mendakwa sekatan itu akan membahayakan kebajikan kucing, walaupun mereka menyokong usaha untuk melindungi burung berkenaan.

Persatuan Diraja Britain untuk Perlindungan Burung (RSPB) berkata, berjuta-juta burung mati secara semula jadi setiap tahun dan tidak ada bukti bahawa serangan daripada kucing di taman menyebabkan populasi berkurangan.

Tidak jelas sama ada sekatan di Walldorf telah memberi manfaat kepada burung lark, tetapi pihak berkuasa mengumumkan mereka akan menarik balik sekatan itu, dua minggu lebih awal daripada yang dijangkakan.

Burung yang menetas pada musim bunga kini dianggap cukup maju dan kurang terdedah kepada serangan. – Agensi