Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Wan Rohimi Wan Daud beramah mesra dengan sebahagian peserta selepas Majlis Perasmian Seminar Jawi dan Teknologi di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 22 OGOS2022.

KUALA LUMPUR – Penggunaan tulisan Jawi wajar digunakan lebih meluas selari dengan aplikasi dan kemudahan teknologi kerana ia merupakan identiti nasional bagi Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, penggunaan teknologi seperti augemented reality (AR) atau ‘realiti luasan’ dalam bidang pendidikan berpotensi melahirkan pelajar yang lebih berdaya saing.

Katanya, pelbagai kaedah penggunaan dan aplikasi teknologi semasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran Jawi boleh terus dimanfaatkan oleh para pakar tulisan Jawi dan pembangun khidmat teknologi maklumat.

“Teknologi yang sesuai digunakan sebegini dilihat sebagai media pengajaran masa kini dan masa hadapan yang lebih efektif, kreatif dan inovatif untuk golongan pelajar khususnya dan masyarakat secara umumnya.

“Fungsi teknologi yang dimanfaatkan dalam penguasaan tulisan Jawi ini juga merupakan salah satu elemen utama sebagai media pengajaran alternatif kepada para pelajar dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan perasmian yang dibacakan Setiausaha politiknya, Wan Rohaimi Wan Daud sempena Seminar Jawi dan Teknologi di Dewan Bahasa dan Pustaka di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

Idris berkata, teknologi sebegitu berpotensi untuk menarik minat pelajar mempelajari Jawi dan seterusnya meningkatkan penguasaan kandungan ilmu dalam pelbagai mata pelajaran apatah lagi dalam mata pelajaran Pendidikan Islam.

Ujarnya, penguasaan penggunaan Jawi dalam kalangan generasi muda baharu khususnya dapat secara berterusan mengangkat martabat dan penggunaan tulisan Jawi yang perlu terus dipertahankan sebagai suatu khazanah warisan bangsa.

“Saya berharap pada penghujung seminar ini nanti, dapatlah dikumpulkan sejumlah resolusi serta cadangan, rumusan, dan kemudian diambil tindakan susulan untuk memastikan bahawa setiap lapisan masyarakat mampu membaca dan menulis menggunakan tulisan Jawi dengan baik.

“Dalam hal ini, pihak-pihak lain hendaklah bekerjasama dan menggembleng tenaga dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuklah bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka demi memajukan Jawi beriringan dengan sistem teknologi semasa, dan seterusnya meletakkan tulisan Jawi ini kembali kepada martabatnya yang tinggi.

“Hal ini bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan, hendak seribu daya, enggan seribu helah,” tambahnya. – MalaysiaGazette