KUALA LUMPUR – Penubuhan Gerakan Tanah Air (GTA) diharapkan dapat mengubah landskap politik yang lebih cekap dan berintegriti.
Selain memacu negara dalam bidang ekonomi, gabungan ahli profesional pelbagai lapangan dan badan bukan kerajaan itu akan menjadi pemacu bagi memastikan negara kembali gah sebagai Harimau Asia.
Wakil profesional GTA, Datuk Dr. Abdul Halim Sher berkata, ketidakyakinan rakyat kepada kerajaan sebelum ini jelas satu petanda senario politik tanah air perlu berubah.
Katanya, ia menjadi antara tuntutan pengamal profesional, pemikir serta NGO yang ingin melihat kepada perubahan secara total pentadbiran serta hala tuju kerajaan.
“Pembabitan golongan profesional dalam GTA adalah untuk memperjuangkan perubahan yang signifikan kepada negara. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kita berdepan pelbagai isu seperti integriti, ekonomi yang terjejas serta kepercayaan terhadap sistem pentadbiran.
“GTA hadir sebagai pilihan kepada penyelesaian semua kemelut ini. Tidak hanya mahu berpolitik, gerakan ini akan menjadi ejen perubahan dengan mengambil kira pandangan semua pihak terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan GTA sebagai gabungan parti politik baharu berlandaskan Melayu dan Islam bagi menentang UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ia membabitkan gabungan parti Pejuang, parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia, Parti Perikatan India Muslim Malaysia, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia, badan bukan kerajaan, ahli profesional dan akademik serta beberapa individu tertentu. – MalaysiaGazette