KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan mengapa kerajaan terdahulu di bawah Pakatan Harapan (PH) membekukan projek kapal tempur pesisir (LCS) dan tidak membantu Boustead Naval Shipyard (BNS) serta kira-kira 8,000 pekerjanya.
Menurut beliau, projek yang dibekukan itu tidak akan memberi sebarang hasil dan ‘kapal tidak akan tumbuh dengan sendirinya.
Ahli Parlimen Pekan itu bertanya sama ada PH sangat tidak kompeten sehingga tidak tahu bagaimana untuk membantu BNS serta mempercepatkan projek.
“Berapa ringgit dari kerajaan pernah diluluskan untuk teruskan projek sepanjang tempoh PH memerintah memandangkan ada lagi baki bajet RM3 bilion setelah kerajaan membayar RM6 bilion daripada jumlah peruntukan RM9.1 bilion projek ini?
“Ataupun PH seolah-mahu jahanamkan Boustead dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk persalahkan Barisan Nasional (BN).
“Seolah-olah mahu jahanamkan kebolehan tempatan, industri dan ekosistem pembinaan kapal perang negara,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.
Najib sekali lagi membangkitkan fakta bahawa sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri, Boustead Holdings tidak pernah rugi manakala dividen serta bonus LTAT adalah lebih 10 peratus dan tetap tinggi.
Beliau memberitahu, fakta juga menunjukkan kemajuan pembinaan LCS hanya naik tiga peratus sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) setelah projek dilewatkan dan dibekukan oleh PH.
“Projek hanya disambung semula pada Mei 2022 oleh kerajaan hari ini setelah dibekukan PH dan selepas dua tahun pandemik di mana darurat dan lockdown separuh masak antara paling lama dalam dunia untuk selamatkan jawatan Perdana Menteri sendiri menyukarkan pelaksanaan projek,” jelasnya.
Najib berkata, banyak lagi projek-projek di bawah kerajaan PH yang lambat namun tidak dibekukan. – MalaysiaGazette