Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke Mahkamah Persekutuan pada prosiding kes rayuan akhirnya berkaitan sabitan dan hukuman penjara penyewelengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 16 OGOS 2022.

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini sekali lagi menolak rayuan pembelaan mewakili Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan pendengaran rayuan akhirnya berhubung sabitan salah serta hukuman penjara dan denda berkait dengan penyelewengan dana RM42 juta milik sebentar tadi.

Terdahulu, peguam utama mewakili bekas perdana menteri itu, Hisyam Teh Poh Teik telah memohon kepada lima panel hakim yang diketuai oleh Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat supaya pihaknya diberikan penangguhan antara tiga hingga empat bulan sebelum prosiding bermula.

Bagaimanapun setelah mahkamah ditangguhkan selama satu jam, Tengku Maimun secara sebulat suara bersama empat lagi panel hakim menolak permohonan tersebut dan menetapkan 18 Ogos iaitu Khamis ini bagi prosiding rayuan itu dimulakan.

Kata beliau ketika membaca penghakiman itu, semua pihak termasuklah pembelaan sedia maklum tarikh pendengaran ditetapkan pada 15 hingga 26 Ogos dan sepatutnya telah membuat segala persiapan.

Tengku Maimun secara tegas berkata, tindakan untuk menangguhkan prosiding tidak adil bagi pihak-pihak lain termasuklah yang sedang menunggu masa untuk proses rayuan mereka dimulakan.

Tun Tengku Maimun Tuan Mat

“Keadilan yang dilewatkan adalah keadilan yang dinafikan. Untuk makluman, walaupun sudah tahu tarikh perbicaraan namun perayu (Najib) masih menamatkan perkhidmatan peguam lama dan melantik yang baharu. Sudah tentu itu adalah hak beliau.

“Tetapi pada masa sama anda tidak boleh memberitahu mahkamah bahawa peguam baharu dilantik ini pula memerlukan masa dan belum bersedia. Peguam baharu tidak boleh meminta penangguhan.

“Seorang peguam juga tidak boleh menerima sesebuah kes tanpa bersedia, hadir ke mahkamah dan memaklumkan mahkamah tidak bersedia untuk menjalankan tugas itu. Maka dengan ini, kita menolak permohonan ini sebulat suara,” katanya.

Terdahulu, Hisyam sejurus selepas mahkamah menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan akhir SRC International yang sedang dihadapinya itu, beliau telah memohon untuk penangguhan antara tiga hingga empat bulan.

Beliau memaklumkan sebagai peguam yang baharu sahaja mengambil kes itu dari Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada bulan Julai lalu dan memerlukan masa panjang bagi menyediakan dirinya untuk menghadapi kes penting ini.

Najib melalui sepucuk surat telah menamatkan perkhidmatan firma guaman, Tetuan Shafee & Co, peguam, Muhammad Shafee dan seluruh pasukan pembelaannya sebelum melantik ZIST pada 25 Julai lepas.

Perkara itu kemudian dimaklumkan oleh firma guaman Shafee & Co kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan keesokan harinya.

ZIST dalam sepucuk surat kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan memaklumkan sekaligus mengesahkan firma guaman tersebut telah dilantik oleh Najib untuk mewakilinya pada pendengaran rayuan akhir tersebut pada 26 Julai pula.

Untuk makluman, Hisyam juga merupakan peguam bela kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes penyelewengan dana Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan kes rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) di Mahkamah Tinggi Shah Alam ketika ini. -MalaysiaGazette