Datuk Seri Mahdzir Khalid bercakap pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 16 OGOS 2022.

PUTRAJAYA – Setiap parti ada kekuatan tersendiri begitu juga UMNO atau Pas.

Demikian kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa parti itu yakin akan menang 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, pada akhirnya, kekuatan setiap parti akan dinilai menerusi undi daripada rakyat.

Sehubungan itu beliau menyifatkan, tiada keperluan untuk bercerita tentang kekuatan parti masing-masing menerusi media.

“Kalau berkelahi di media pun tidak berapa seronok sebenarnya tapi apa pun, pada akhirnya kita akan bergaduh sesama kita.

“Setiap parti ada kekuatan masing-masing, kalau UMNO-BN ada kekuatannya, Pas pun mungkin ada kekuatannya. Rakyat yang akan menentukan,” katanya yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar ketika sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Majlis Amanah Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Baru-baru ini Muhammad Sanusi berkata, Pas di Kedah semakin kukuh dalam masa yang sama menyifatkan kedudukan UMNO tidak lagi sekuat dulu di neger berkenaan.

Ditanya sama ada UMNO-BN akan bergabung dengan Pas pada pilihan raya akan datang, Mahdzir berkata, perkara tersebut tidak timbul selepas parti berkenaan mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Nak bergabung macam mana dia dah cakap macam itu. Saya tidak kata tidak akan kerjasama tapi seeloknya kalau ada apa-apa kita cerita sesama kita tidak payah berlawan dalam media, kau kuat, aku kuatkan,” tambahnya.

Sebagai rekod, Pas kini menyandang 15 daripada 36 kerusi DUN dan mengetuai kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Kedah bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mempunyai enam kerusi manakala UMNO hanya menang dua kerusi pada PRU-14.

Manakala Pakatan Harapan (PH) pula mempunyai 13 kerusi DUN, masing-masing lima milik PKR, diikuti empat disandang Parti Amanah Negara (Amanah), dua milik DAP dan dua disandang Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang). – MalaysiaGazette