YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi menyampaikan ucapan perasmian sempena SSMNC22 ke-11 yang berlangsung secara dalam talian pada 26 & 27 Julai 2022 dengan penyertaan lebih 2,400 delegasi.

KUALA LUMPURSuruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menganjurkan  Persidangan Kebangsaan atau SSM National Conference 2022 (SSMNC22) kali ke-11 pada 26 Julai 2022 dengan rekod penyertaan sebanyak 2,400 delegasi termasuk lapan (8) delegasi antarabangsa dari Singapura, Kiribati, Malta, Belize dan Republic of Slovenia.

Persidangan dalam talian selama dua (2) hari yang membawa tema ‘Corporate Governance and Sustainability. Needed Now More Than Ever’ ini dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Beliau dalam ucapannya berkata, tema yang dipilih oleh SSM pada tahun ini amat bersesuaian ke arah mewujudkan kemampanan jangka masa panjang dan pertumbuhan inklusif bagi memperkukuhkan tadbir urus korporat dalam mencapai pertumbuhan perniagaan yang pesat. 

Menurut Alexander, syarikat tempatan telah mula menyepadukan kemampanan dalam strategi serta inisiatif perniagaan sedia ada mereka selaras dengan aspirasi Kerajaan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) bagi hala tuju untuk mencapai Malaysia yang makmur, inklusif dan mampan.

“Banyak syarikat kini memberi tumpuan kepada penambahbaikkan amalan terbaik untuk tadbir urus korporat dan kemampanan, dengan matlamat untuk menjalinkan hubungan yang lebih baik dengan pihak berkepentingan kerana ini penting bagi keupayaan syarikat untuk berkembang maju dan makmur.

“Dengan trend yang semakin meningkat dan jangkaan daripada pelabur dan pengawal selia, lembaga pengarah perlu memberi perhatian khusus kepada amalan perniagaan dan kesannya terhadap persekitaran sosial serta alam sekitar kerana mereka mempunyai kuasa untuk membentuk hala tuju dan budaya syarikat melalui falsafah dan amalan tadbir urus korporat yang baik,” katanya semasa ucapan perasmian SSMNC22.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, berkata objektif SSMNC22 adalah untuk membuka platform bagi memperkukuh tadbir urus dan kelestarian korporat dalam mencapai nilai jangka masa panjang serta pertumbuhan perniagaan yang mampan. 

Datuk Nor Azimah sebagai moderator pada sesi plenari ke-2 bertajuk Regulatory Landscape and Expectations On Sustainability Governance sempena SSMNC22 ke-11.

Beliau berkata SSMNC22 menawarkan sembilan (9) sesi plenari bersama ahli-ahli panel terdiri daripada kalangan pengamal sektor korporat yang mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam pelbagai bidang.

Sembilan sesi plenari dengan tajuk yang merangsang fikiran

Pada sesi plenari pertama bertajuk “Coming Together for the Sustainability Agenda”, para panel telah berkongsi kepakaran dan pengalaman mereka mengenai peranan syarikat dalam mencapai aspirasi RMKe-12. Dalam sesi plenari kedua, topik “Regulatory Landscape & Expectations on Sustainability Governance“, ahli panel memperjelaskan mengenai keperluan pematuhan oleh badan kawal selia terhadap pertimbangan syarikat mengenalpasti risiko dan pembuatan keputusan dengan menyepadukan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (Environmental, Social and Governance [ESG]) sebagai strategi perniagaan.

Manakala sesi plenari ketiga memberi tumpuan kepada bagaimana kemampanan boleh diterapkan dalam Perusahaan Kecil Sederhana (PKS). Sementara itu, dalam sesi plenari keempat, peserta diberi pendedahan berkaitan tadbir urus digital bagi pembangunan lestari.

Sesi plenari kelima pada hari kedua, SSMNC22 memberi fokus kepada tindakan lembaga pengarah dalam topik “Leading climate action from the boardroom. From Talk To Action” dan sesi plenari keenam telah membincangkan mengenai pengukuhan tadbir urus korporat untuk memastikan kemampanan perniagaan.

Sesi plenari ketujuh telah membincangkan mengenai kepimpinan yang berkonsepkan kelestarian dan sesi plenari kelapan memberi tumpuan kepada cara-cara setiausaha syarikat memacu perbualan bagi menarik perhatian mengenai tadbir urus dan kemampanan. Menutup tirai SSMNC22 ke-11, sesi plenari terakhir membawakan isu-isu terkini yang melibatkan operasi, dasar dan perundangan di bawah topik “SSM Talks”.

Delegasi berpendapat tema persidangan sangat relevan

Sementara itu, delegasi-delegasi yang menyertai SSMNC22 kali ini berpendapat bahawa penganjurannya berjaya mencapai objektif serta memberi banyak maanfaat kepada mereka.

Salah seorang delegasi SSMNC22, Dr Zubaidah Zainal Abidin, berkata topik topik dan tema persidangan adalah sangat relevan dan ahli panel juga mempunyai pengalaman luas dalam bidang tadbir urus dan kemampanan. 

Datuk Nor Azimah sebagai moderator pada sesi plenari ke-2 bertajuk Regulatory Landscape and Expectations On Sustainability Governance sempena SSMNC22 ke-11.

Secara peribadi saya tidak tahu wujudnya ‘Climate Governance Malaysia’ yang memainkan peranan dalam mengerakkan pelbagai aktiviti bagi mewujudkan kesedaran tentang perubahan iklim and impaknya terhadap kemampanan syarikat.  Panelis dari agensi NGO juga menyumbang banyak idea mengenai lanskap kawal selia dan jangkaan mengenai tadbir urus kelestarian korporat.  

“Peranan setiausaha syarikat dalam mendorong perbualan tentang kemampanan dan apakah strategi tadbir urus digital yang berkesan untuk pembangunan mampan juga dibentang dan dibincang dengan terperinci. Ahli panel juga menyatakan usaha sedang dirancangkan untuk menyemai kemampanan di perusahaan kecil dan sederhana bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negara,” Felo Akademik dari Universiti Sains Islam Malaysia itu berkata.

Setiausaha syarikat, Lilyrohayu Ab Hamid pula berkata penganjuran SSMNC kali ini adalah sangat teratur, lancar dan profesional, bukan sahaja dari aspek pengurusan sehinggakan para peserta tidak berasa seperti berada di alam maya, malahan juga pemilihan speaker dan juga tajuk-tajuk perbincangan.

Malahan tidak seperti program-program lain, para peserta mendapat manfaat yang lebih apabila rakaman perbincangan dapat diulang tayang selepas persidangan tamat.  Syabas SSM!

“SSMNC kali ini berjaya memberi kesedaran tentang kepentingan ESG kepada pelbagai pihak dan peranan syarikat-syarikat, samada syarikat yang tersenarai di Bursa Saham mahupun syarikat-syarikat kecil, dalam memastikan sustainability dititikberatkan dalam setiap keputusan yang dibuat oleh ahli lembaga pengarah. Selain itu, peranan Setiausaha Syarikat dalam memastikan tadbir urus korporat dan sustainability dilaksanakan di dalam sesebuah syarikat juga dibincangkan secara terperinci.  Begitu juga dengan peranan institusi-institusi tertentu dalam memastikan aspirasi sustainability dapat dicapai bersama,” katanya.