Asisten komisioner Mohamad Farouk Eshak

AMPANG – Wajah seorang lelaki ditoreh dengan pisau lipat oleh teman lelaki rakannya selepas diminta menanggung kos membaiki kereta yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Insiden itu berlaku pada 10 Ogos lalu di padang bola jaring Merdeka Villa, Ampang di sini, kata Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak hari ini.

Menurutnya, kejadian itu berlaku lebih kurang jam 6 petang selepas pengadu dihubungi oleh suspek yang mahu berjumpa di lokasi kejadian  untuk berbincang mengenai kereta pengadu yang rosak akibat kemalangan.

”Tiba di lokasi, pengadu dan suspek telah berbincang namun suspek tidak boleh membayar kos kerosakkan kereta pengadu lalu sebelum mengajak pengadu  bergaduh.

“Suspek berusia 24 tahun itu menumbuk pengadu dan menoreh mukanya dengan menggunakan sebilah pisau kecil,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bertindak atas maklumat, polis melakukan serbuan di sebuah rumah di Semenyih pada jam 2 pagi, 16 Ogos lalu di Kajang, Selangor dan menahan suspek.

Suspek mendakwa pisau lipat yang digunakan semasa kejadian telah dibuang di sekitar kawasan tempat kejadian ketika melarikan diri.

Mohamad Farouk berkata, semakan polis mendapati suspek mempunyai 11 rekod jenayah lampau kesalahan jenayah dan dadah  serta ujian awal saringan air kencing mandapati dia positif dadah jenis THC.

Siasatan polis mendedahkan punca kejadian  disebabkan selisih faham dan meninggi suara antara pengadu dan suspek serta suspek enggan membayar kos baiki kereta.

Suspek telah dibawa ke Mahkamah Ampang bagi permohonan reman di bawah Sek 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun keseksaan kerana  sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya sekali,” ujar beliau.

Beliau memberikan amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam apa apa perbuatan sengaja mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata. – MalaysiaGazette