Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mendoakan agar Datuk Seri Najib Razak tabah dengan cabaran yang sedang dihadapinya.

Sepupu kepada bekas Perdana Menteri itu turut berharap proses keadilan kes mahkamah yang dihadapi Najib akan berjalan dengan lancar.

“Secara peribadi saya memang mendoakan agar Datuk Seri Najib dan keluarga tabah menghadapi dugaan ini dan semoga segala-galanya dipermudahkan yang penting proses mesti diteruskan.

“Saya doakan proses yang sedang berjalan akan berjalan dengan adil dan lancar,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Sempena Bulan Kebangsaan Peringkat Kementerian Pertahanan 2022 dan Sambutan Jubli Emas Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Ke-50, di sini, hari ini.

Semalam, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk menangguhkan rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai lima panel hakim membuat keputusan itu selepas peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik mengemukakan permohonan secara lisan untuk menangguhkan prosiding itu.

Ketika prosiding berlangsung Hisyam memohon kepada mahkamah supaya rayuan ditangguhkan ke tarikh lain.

Jelasnya, ini kerana rayuan akhir ini membabitkan dokumen yang banyak serta terdapat 179 jilid dan ada juga yang mencecah sehingga 1,000 muka surat, tidak termasuk keterangan saksi yang ramai. – MalaysiaGazette