BAYAN LEPAS – Usahawan kosmetik popular, Datuk Seri Vida (DSV) menggayakan barang kemas berharga RM1 juta milik Foo Bao Jewelry pada Pameran Singnature Emas dan Barang Kemas di Pusat Konvensyen Setia Spice, di sini, hari ini.
DSV atau nama sebenarnya Hasmiza Othman dipilih sebagai wajah selebriti bagi memperagakan barang kemas ‘Only You’ keluaran syarikat tersebut.
Pengasas jenama itu yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Foo Bao Sdn. Bhd, Foo Chai Luen berkata, dia memilih DSV bagi meningkatkan populariti penjenamaan barang kemas keluarannya memandangkan figura itu sudah sinonim dalam memperagakan barang perhiasan berharga itu.
“Kami percaya barang kemas yang dicipta dengan reka bentuk inovatif membuatkan kami terkenal dengan jolokan nama penghantaran koleksi barang kemas luar biasa.
“Koleksi kami menjadi tarikan awam dan ia terbukti apabila dalam tempoh sehari pameran hari ini kami sudah jual barang kemas hampir dua kilogram (kg).
“Malah, sasaran jualan kami bagi tempoh tiga hari pameran adalah 10kg barang kemas dengan nilai keseluruhan mencecah RM2 juta,” katanya kepada pemberita ketika ditemui hari ini.
Sementara itu, DSV meluahkan rasa teruja selepas dipilih untuk menggayakan barang kemas jenama Only You.
Katanya, penggunaan barang perhiasan diri juga menjadi sebati dalam kehidupan masyarakat kini yang turut menjadi simbol prestij, kekayaan dan kuasa.
“Trend sekarang memang orang suka beli dan pakai barang kemas jadi bagi saya tak rugi jika kita beli barang perhiasan ini kerana ia merupaka salah satu konsep pelaburan untuk masa depan.
“Kita kena ingat harga emas ini tak pernah turun dan ia menjadi aset kerana bagi peminat barang kemas mereka mesti akan sentiasa mencari keluaran terbaru untuk koleksi mereka,” katanya. – MalaysiaGazette