Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan ketika menerima cenderehati daripada Presiden Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Raduan Che Rose (tiga kanan) pada Program diskusi Minda TV di Majlis Profesor Negara Kajang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 19 OGOS 2022.

KAJANG – Satu pengumuman khas akan dibuat berhubung langkah pelaksanaan waktu kerja 45 jam seminggu pada minggu depan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, beliau akan membuat pengumuman itu selepas melihat beberapa perkara yang berkaitan tempoh waktu kerja, cuti dan pelbagai perkara lain.

“Itu minta tunggu lagi seminggu, saya akan buat pengumuman khas sebab banyak benda nak kena lihat dari segi waktu kerja, cuti, dari segi peranan kementerian, agensi-agensi kawal selia lain,” katanya kepada pemberita selepas menjadi panelis pada Program Minda Profesor Negara di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan Sin Chew Daily yang memetik sumber berhubung pengurangan waktu kerja daripada 48 jam kepada 45 jam seminggu yang dijangka ditunda buat masa ini.

Menurut laporan itu, wakil-wakil industri dan perniagaan telah berjumpa dengan Saravanan baru-baru ini dan menteri telah bersetuju bahawa pengurangan waktu kerja tidak akan dilaksanakan mulai 1 September.

Bagaimanapun Saravanan tidak pasti bilakah tarikh pelaksanaan sebenarnya selepas penangguhan.

Sebelum ini, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia atau MEF telah meminta kerajaan menunda pelaksanaan pengurangan waktu kerja yang pada asalnya dijadual dilaksanakan mulai 1 September ini.

Langkah-langkah lain yang sepatutnya dilaksanakan bermula tarikh tersebut termasuk menaikkan kelayakan pembayaran kerja lebih masa untuk mereka yang bergaji antara RM1,500 (gaji minimum) hingga RM4,000 berbanding RM2,000 sebelum ini.

Pindaan Akta Kerja juga memperuntukkan cuti bersalin ditingkatkan dari 60 hari kepada 98 hari sementara bapa boleh menikmati cuti tujuh hari.

MEF bagaimanapun berpendapat, bahawa langkah-langkah yang diumumkan akan menambahkan kos yang besar untuk syarikat. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pelaksanaan waktu kerja 45 jam seminggu ditunda

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast