Gambar hiasan

PETALING JAYA – Pengurangan waktu kerja daripada 48 jam kepada 45 jam seminggu dijangka ditundakan.

Sinchew Daily melaporkan, wakil-wakil industri dan perniagaan telah berjumpa dengan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan baru-baru ini dan menteri telah bersetuju bahawa pengurangan waktu kerja tidak akan dilaksanakan mulai 1 September.

“Walaupun penetapan-penetapan lain akan dilaksanakan mengikut jadual, tetapi pengurangan waktu kerja dari 48 jam kepada 45 jam tidak akan bermula 1 September.

“Walau bagaimanapun, kami tidak pasti bilakah tarikh pelaksanaan sebenarnya selepas penangguhan,” kata sumber kepada akhbar itu.

Sebelum ini, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia atau MEF telah meminta kerajaan menundakan pelaksanaan pengurangan waktu kerja, yang pada asalnya dijadual dilaksanakan mulai 1 September.

Langkah-langkah lain yang sepatutnya dilaksanakan bermula tarikh tersebut termasuk menaikkan kelayakan pembayaran kerja lebih masa untuk mereka yang bergaji antara RM1,500 (gaji minimum) hingga RM4,000 berbanding RM2,000 sebelum inI.

Pindaan Akta Kerja juga memperuntukkan cuti bersalin ditingkatkan dari 60 hari kepada 98 hari sementara bapa boleh menikmati cuti tujuh hari.

MEF bagaimanapun berpendapat bahawa langkah-langkah yang diumumkan akan menambahkan kos yang besar untuk syarikat.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana, Ding Dong Sing pula berpendapat, pindaan Akta Kerja akan merugikan semua pihak.

Beliau berkata, daya produktiviti kilang akan berkurangan, kos meningkat, hasil cukai berkurangan dan harga produk akan menjadi mahal.

Katanya kepada Sinchew Daily, pengurangan waktu kerja dan pertambahan cuti bersalin bermaksud pengusaha terpaksa menggaji lebih banyak pekerja.

Ujarnya, kos yang tinggi akan menjejaskan hasil syarikat seterusnya memberi impak kepada sasaran kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast