KUALA LUMPUR – Pemimpin Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) yang terlibat dalam menjaga kebajikan masyarakat setempat diingatkan agar berwaspada menguruskan peruntukan dana kerana mereka berisiko terdedah dengan unsur salah laku tuntutan palsu.
Penolong Kanan Pesuruhjaya Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ramli Hassan berkata, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 .
“Selain itu kalau mereka menyedari unsur (tuntutan palsu) berlaku dan jika tak dilaporkan kepada SPRM, itu satu kesalahan boleh diambil tindakan.
“Begitu juga jika seseorang itu meminta rasuah tetapi tidak dilapor kepada pihak berkuasa salah juga di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM.
“Jika di bawah Seksyen 25(3) kalau siapa-siapa nak bagi rasuah tetapi anda tidak menerima dan tidak melaporkan perkara itu kepada SPRM juga satu kesalahan serius boleh didenda RM10,000 dan dua tahun penjara,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada Program Dialog SPRM bersama 150 wakil MPP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Program yang dirasmikan Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abdul Hamid itu bertujuan memberi pendidikan dan kesedaran tentang jenis kesalahan rasuah.
Menurut Ramli, pengetahuan mengenai risiko rasuah dan impaknya perlu dikongsikan kepada ahli-ahli perwakilan dan juga masyarakat agar mereka sentiasa berhati-hati.
Sementara itu, Ramli berharap wujud persefahaman antara SPRM dengan wakil MPP bagi menggembleng tenaga dalam usaha mencegah rasuah.
“Sebagai wakil atau pemimpin MPP anda pasti menerima peruntukan dana daripada kerajaan untuk membuat program dan aktiviti kemasyarakatan, sumbangan dan sebagainya maka saya menasihatkan supaya memastikan setiap peruntukan yang kita dapat dibelanjakan kepada mereka yang berhak maksud saya biarlah sampai kepada mereka yang berhak bermanfaat dengan mematuhi garis panduan dan peraturan yang ditetapkan.
“Sebab kalau kita tidak ikut peraturan dan garis panduan, jika berlaku sesuatu di kemudian hari nanti anda sebagai pengerusi MPP yang akan bertanggungjawab, bukan sekadar menjawab rasional perbelanjaan itu, tetapi juga berdepan pelbagai risiko lain juga di sisi undang-undang,” ujarnya. – MalaysiaGazette