sprm
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan dua individu bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai lebih RM40,000.

Menurut sumber, kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 29 dan 56 tahun tersebut ditahan di pejabat SPRM Pulau Pinang kira-kira pukul 4.30 petang semalam.

Katanya, suspek wanita berusia 29 tahun merupakan eksekutif kanan sebuah syarikat. Manakala suspek lelaki berusia 56 tahun pula merupakan pemilik syarikat penyediaan latihan.

Kedua-dua mereka dipercayai terlibat dalam kesalahan mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu berkaitan lima penganjuran latihan perisian komputer bernilai lebih RM40,000 pada 2021.

Menurut sumber, penganjuran latihan-latihan tersebut tidak dilaksanakan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim mengesahkan tangkapan tersebut.

Menurutnya, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Butterworth hari ini untuk tujuan permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette