Gambar hiasan: Pekerja MARDI melakukan kerja-kerja pertanian ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Serdang, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 27 OKTOBER 2021.

MASANYA sudah tiba. Malaysia perlu gemilangkan semula sektor pertanian agar dikenali sebagai negara pertanian yang gah dengan penglibatan usahawan muda yang bergelar Agropreneur Muda. Walaupun negara belum sampai ke garisan kritikal krisis makanan, persediaan dan tindakan awal perlu diambil bagi memastikan bekalan makanan mencukupi bagi memastikan rakyat tidak terus terbeban berikutan peningkatan harga bekalan makanan.

Menurut Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia berada pada kedudukan ke-39 dalam Global Food Security Index pada tahun 2021. Jadi, usaha agresif dan berterusan perlu dilakukan selari dengan dasar jaminan keselamatan makanan bagi membolehkan negara maju dalam sektor pertanian dan industri makanan.

Jadi, agropreneur muda yang berkecimpung dalam sektor pertanian dan industri asas tani perlu perlu lebih agresif meneroka teknologi moden dengan cara menajamkan pemikiran keusahawanan bagi melonjakkan kejayaan keusahawanan sekali gus
mengatasi isu berkaitan ancaman sekuriti makanan di Malaysia.

Pemikiran keusahawanan dalam kalangan agropreneur muda diterjemahkan sebagai usahawan yang berkebolehan melihat dan merebut peluang, menjana idea kreatif, menghasilkan produk atau servis inovatif, sanggup menanggung risiko dan mampu
bertoleransi kepada kekaburan yang berlaku dalam sektor pertanian.

Ciri-ciri ini amat diperlukan bagi memastikan agropreneur muda dapat merebut peluang perniagaan dalam sektor pertanian, menjana idea dengan cara yang lebih kreatif dan inovatif, mampu mengikut arus perubahan dan mengurus kemampuan perusahaan untuk bertindak balas ke atas perubahan, kejutan dan kekaburan sebagai peluang-peluang untuk inisiatif baharu.

Secara khususnya, dalam konteks pertanian dan industri asas tani, pemikiran keusahawanan bermaksud membawa perubahan minda dan aplikasi ke arah pemodenan sektor pertanian dengan mengaplikasikan kaedah moden seperti penggunaan teknologi
baru seperti penggunaan GPS (Global Positioning System), robotik, kecerdasan buatan (AI), sensor dan dron serta memanfaatkan sepenuhnya Internet Pelbagai Benda (IoT) agar sektor ini lebih moden, dinamik dan berdaya saing seiring dengan sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Justeru itu, agropreneur muda diseru menajamkan pemikiran keusahawanan agar dapat meningkatkan produktiviti dan kejayaan keusahawanan dalam aktiviti tanaman, ternakan, perikanan, perusahaan industri asas tani, aktiviti pemasaran dan pengedaran produk, perusahaan agrotourism dan rekreasi serta perkhidmatan sokongan industri yang merangkumi aktiviti penyelenggaraan, pembaikan, pembekalan bahan mentah dan kemudahan asas pertanian.

Kejayaan agropreneur muda dalam bidang pertanian ini diyakini mampu mendukung aspirasi dan hala tuju Dasar Agromakanan Negara 2.0 agar sektor agromakanan negara lebih mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi. Selain itu, kejayaan agropreneur muda juga diyakini mampu menyokong Dasar Keusahawanan Nasional 2030 terutamanya bagi Teras Strategik 4 iaitu Memacu Pertumbuhan Ekonomi Melalui Perusahaan Berteraskan Inovasi.

Dr. Atikah Nor Johari
Pensyarah Kanan (Keusahawanan)
Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan
Universiti Malaysia Perlis