Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) Zamani Ibrahim.

SHAH ALAM – Empat parti politik yang bergabung membentuk Gerakan Tanah Air (GTA) mengusulkan mahu menggunakan nama Tanah Air Kita.

Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Zamani Ibrahim berkata, nama baharu berkenaan diusulkan selari dengan perjuangan parti-parti yang mahu menjadi pilihan rakyat berbanding menjadi seteru Barisan Nasional (BN).

“Inilah keluarga kita, Tanah Air, yang kita sediakan kepada rakyat setelah rakyat tercari-cari dalam BN, tetapi parti itu gagal membawa agenda negara,” katanya ketika berucap di Jelajah Kepimpinan Baharu Malaysia Berjasa peringkat Selangor.

Tambah beliau, Tanah Air mahu menjadi pejuang tanah air dan pahlawan Melayu seperti Mat Kilau.

“Oleh kerana rakyat mencari ternanti siapa Mat Kilau untuk memperjuangkan rakyat maka muncullah Mat Kilau sebenar iaitu Tanah Air,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan sebuah gabungan bertujuan memperkasa kaum Melayu terutama dalam bidang ekonomi dikenali GTA.

Selain Pejuang, gabungan berkenaan disertai oleh Berjasa, Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Mengulas lanjut, Zamani berkata, gabungan berkenaan mahu terus memastikan kaum Melayu menerajui negara.

“Malaysia mesti dipegang oleh bangsa tonggak iaitu Melayu. Kita akan posisikan Melayu sebagai tonggak sebab itulah keluarga besar Tanah Air bangun, sebab kita tidak boleh meletakkan negara di tangan parti yang bergelumang dengan rasuah untuk menerajui negara,” katanya. – MalaysiaGazette