KUALA LUMPUR – Biarpun banyak pihak yang mendesak untuk pembubaran Parlimen diadakan segera, namun bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, perkara itu masih dalam pertimbangannya.

Ini kerana banyak lagi perkara perlu diselesaikan.

Ismail Sabri berkata, beliau tidak tertekan dengan desakan, sebaliknya masih meneruskan semua perancangan termasuk memastikan rakyat dan negara tidak menghadapi masalah ekonomi yang teruk.

“Saya tak pernah rancang nak jadi Perdana Menteri. Dalam tempoh 42 hari menjadi Timbalan Perdana Menteri, kemudian jadi Perdana Menteri kerana mengikut hieraki selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Parti-parti lain semua sokong dan akhirnya jadilah saya Perdana Menteri. Itu pun tanpa planning, tanpa perancangan dan tak sangka pun.

Well, jadi saya tak rasa apa-apa pressure lah,” katanya dalam satu temu bual bersama media bersempena setahun pentadbiran Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-9.

Beliau berkata, dalam tempoh setahun ini, semuanya diserahkan kepada Yang Maha Esa untuk menentukan.

“Dalam isu kes saya, tak ada merancang, tiada planning, mungkin ini perancangan dan ditentukan Allah SWT.

“Ada yang tanya, boleh lelap tidur ke malam, (dengan) macam-macam isu ini.

“Saya kata biasa saja, rasa nak tidur, saya tidurlah. Jadi saya tak pernah terfikir,” ujarnya. – MalaysiaGazette