MELAKA – Penetapan dua harga bagi kegunaan minyak masak domestik dan eksport akan diperincikan September ini sebelum ia dibawa ke Kabinet bagi mengurangkan tanggungan negara terhadap bahan bersubsidi itu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, setakat ini kementeriannya dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) sudah adakan perbincangan termasuk mengenai penetapan harga siling.
“Keputusan ini, walaupun kita dah setuju, tapi perlu kepada (kelulusan) Kabinet untuk putuskan dan kita harap ianya dapat dilaksanakan untuk ringankan beban negara terhadap minyak masak bersubsidi ini.
“Kita dah ada (paras harga ditetapkan), tapi secara perinciannya saya tak dapat nak dedahkan (tapi) ada satu (harga) yang mana untuk dalam negara dan selebihnya untuk luar negara kita dah ada namun ianya tak dapat diputuskan lagi.
“Jadi kita harap ia dapat diselesaikan mungkin minggu depan atau dua minggu lagi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Ke-67 Kumpulan Kerja Kerjasama Harta Intelek ASEAN (AWGIPC) di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Abdul Haris Lakar dan Pengarah KPDNHEP Melaka Norena Jaafar.
Mac lalu Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata, kerajaan sedang mencari alternatif termasuk penetapan dua harga bagi kegunaan minyak masak domestik dan eksport.
Usaha itu katanya, bagi memastikan agihan subsidi minyak masak sampai kepada golongan sasar sekali gus menangani masalah terlalu banyak perbelanjaan untuk subsidi minyak masak.
Sementara itu, Rosol berkata, Mesyuarat Ke-67 AWGPIC yang berlangsung selama lima hari sehingga 26 Ogos ini menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah untuk menyelaraskan kerjasama dalam bidang harta intelek di rantau ASEAN.
“Mesyuarat ini akan membincangkan program-program yang telah dilaksanakan seperti mana yang telah digariskan di bawah 28 inisiatif yang terkandung dalam ASEAN IPR Action Plan 2011-2015 dan 19 Inisiatif di bawah ASEAN IPR Action Plan 2016-2025,” katanya.
Selain wakil daripada negara-negara ASEAN, mesyuarat ini turut disertai wakil pejabat harta intelek daripada China, Jepun, Korea dan Amerika Syarikat. – MalaysiaGazette