Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali memberi cenderamata kepada Duta Iran ke Malaysia, Ali Asghar Mohammadi (dua kiri) selepas mengadakan pertemuan bersama di Pejabat PUTRA, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 22 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali menerima kunjungan hormat Duta Besar Iran ke Malaysia, Ali Asghar Mohammadi di pejabatnya, di sini, hari ini.

Ali Asghar bersama rakannya, Kaunselor Politik bagi Kedutaan Iran di Malaysia, Ahmad Seifi menghabiskan masa kira-kira dua jam dalam pertemuan yang disifatkan penuh nostalgia itu.

Menurut Dr. Ibrahim, kunjungan rombongan Kedutaan Iran ke pejabat Putra adalah lanjutan persahabatan beliau yang telah terjalin dengan pemimpin besar Imam Ayatollah Ruhollah Khomeini sejak 44 tahun lalu.

“Nostalgia saya dengan negara Iran ini bermula dengan pertemuan saya yang ditakdirkan Allah pada 44 tahun dahulu dengan pemimpin besar revolusi Iran, Ayatollah Ruhollah Khomeini di Neauphie’-Le-Chateau iaitu 25 kilometer dari Paris pada tahun 1978.

“Waktu itu saya berusia 29 tahun dan pertemuan ini tidak diatur, ia terjadi atas kehendak Allah dan saya cukup teruja dan saya masih rasai serta terkesan sampai sekarang dengan pertemuan itu.

“Tahun 1978 ketika itu Malaysia belum ada hubungan diplomatik dengan Iran. Hubungan diplomatik Malaysia dengan Iran dibuat dengan kedutaannya di Bangkok, Thailand,” katanya kepada media, selepas menerima kunjungan rombongan Kedutaan Iran di pejabatnya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Syed Hasan Syed Ali dan Setiausaha Agung Putra, Borhan Zakaria.

Pertemuan itu juga turut menyentuh mengenai geo politik antarabangsa terutama isu Iran – Amerika dan hubungan Iran dengan negara Teluk Arab.

Jelas Dr. Ibrahim, Ayatollah Khomeini ketika itu berada di Paris kerana mendapat suaka politik akibat menentang Shah Iran iaitu Shah Mohammad Reza Pahlavi.

Ujarnya, beliau berkesempatan bertemu dengan Imam Iran itu sekitar jam 12 tengah hari hingga 9 malam waktu Perancis dan sempat menunaikan solat Zohor, Asar dan Maghrib.

Manakala, isterinya, Datin Rohayah Idrus pula berkesempatan bertemu dengan isteri dan anak-anak Ayatollah Ruhollah Khomeini.

“Pulang ke tanah air, selepas selesai menunaikan umrah, saya menulis buku wawancara dengan Imam Khomeini, yang mana kata penghantar buku itu ditulis oleh wartawan Utusan Melayu ketika itu, (Allahyarham) Subki Latif dan terjual lebih 30,000 nashkah.

“Pertemuan ini sungguh nostalgik, sebab saya antara satu-satunya sebagai rakyat Malaysia yang berkesempatan bertemu pemimpin besar revolusi Iran ketika itu,” katanya.

Menurut Dr. Ibrahim, hari ini apabila menerima kunjungan Duta Besar Iran ke Malaysia, membuktikan cerita beliau bertemu pemimpin Iran 44 tahun lalu, bukan dongeng, apatah lagi pembohongan.

Malah, katanya, Duta Iran itu juga meminta persetujuannya agar menjadi salah seorang yang akan ditemuduga secara komprehensif mengenai penerbitan dokumentari 45 Tahun Revolusi Islam Iran.

Jelasnya, beliau bersetuju dengan permintaan itu untuk terlibat dalam penyediaan Dokumentari 45 Revolusi Iran dan akan membuat lawatan ke Iran sekali lagi selepas PRU15.

“Saya satu-satunya tokoh negara Malaysia dalam usia 29 tahun berkesempatan bertemu dengan pemimpin Revolusi Iran Imam Ayatollah Khomeini di Kemuncak Revolusi Iran di Neauphie’-Le-Chateau, Paris.

“Saya bukan sahaja satu-satunya tokoh muda waktu itu dapat kesempatan berjumpanya, malah satu-satu dari negara Asia. Waktu ini Imam Khomeini mendapat suaka politik kerajaan Perancis dan melancar revolusi Iran dari Paris.

“Pertemuan ini menjadi cemburu kepada banyak pihak sehingga ada yang menuduh ianya rekaan semata mata,” katanya.

Mencerita lanjut, bekas pemimpin pelajar itu berkata, tahun pertama Perayaan Revolusi Iran 1979, beliau dijemput sebagai tetamu kerajaan Iran.

Kemudian, empat tahun selepas itu, beliau melawat Iran dan membuat kunjungan hormat ke atas anak sulung Ayatollah Khomeini iaitu Imam Ahmad Khomeini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast