Seorang lelaki meluangkan masa membaca buku ketika mengunjungi kedai buku Tsutaya ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 29 JULAI 2022.

ILMUAN silam dan kontemporari sering membincangkan kepentingan ilmu dalam kehidupan manusia. Malah ilmu turut berfungsi sebagai kunci sebuah kebebasan dan kemerdekaan. Ilmu telah terbukti berjaya membebaskan minda dari penjajahan sebuah kejahilan yang merupakan faktor keruntuhan sesebuah tamadun. Zaman Arab jahiliah dalam buku-buku sejarah dikatakan sebagai zaman di mana manusia berada dalam kegelapan ilmu ketuhanan sehingga mereka menyembah makanan. Ia rentetan amalan orang-orang Arab jahiliah membina berhala daripada buah kurma dan menyembahnya.

Kedatangan Islam telah membebaskan masyarakat Arab daripada belenggu kejahilan dan menyinari pemikiran mereka dengan ilmu benar tentang konsep ketuhanan. Kepentingan ilmu tergambar dalam wahyu yang pertama diturunkan kepada Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud: Baca dengan nama RabbMu Yang Menciptakan (al-`Alaq: 1). Perintah ini amat tegas dan menjadi penghulu kepada perintah-perintah yang lain. Kebebasan minda dari penjara kejahilan bermula dengan ilmu pengetahuan yang terpasak bagai tiang seri sebuah kemerdekaan merentas masa dan tempat.

Tiang seri ini memainkan peranan dalam memastikan solidariti dan kelestarian sebuah kemerdekaan bagi diri, keluarga, masyarakat, ummah dan negara. Ilmu yang menjaga akal, emosi, fizikal dan spiritual seorang insan yang selari dengan ajaran Islam. Ilmu dunia dan akhirat. Ilmu yang memperkasakan pembinaan tamadun ummah dan menjamin kehidupan yang tenang dan menenangkan.

Ketenangan yang menenangkan melahirkan kebahagiaan yang mendorong produktiviti dan kreativiti serta menghasilkan inovasi yang cemerlang dan gemilang. Bak ungkapan dalam bahasa Inggeris: happy cows produce more milk yang bermaksud lembu yang gembira akan menghasilkan susu yang lebih banyak. Tuntasnya, ilmu yang benar membenihkan nilai-nilai murni dan akhlak yang mantap. akan membawa kepada kebahagiaan jiwa yang mendorong insan menjadi lebih proaktif.

Kini Malaysia berada dalam keadaan yang aman daripada peperangan fizikal namum mendepani “peperangan” dari sudut pandang yang berbeza dek tahap ilmu yang tidak seimbang terutamanya dalam pembangungan jati diri bangsa berilmu yang tidak mudah goyah dipengaruhi oleh provokasi nilai-nilai negatif dan merugikan seperti materialistik, individualistik dan sarkastik. Sifat materialtik, individualitik dan sarkastik misalnya bertentangan dengan adab Islam dan akhlak mukmin yang beriman dengan Allah SWT dan hari pembalasan di akhirat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya. (Riwayat al-Tirmizi No 1162) Rasulullah SAW merupakan model akhlak yang baik dan benar sebagaimana perakuan daripada Allah SWT dalam firmanNya yang bermaksud: Dan sesungguhnya padamu (Wahai Muhammad) akhlak yang sangat-sangat mulia (al-Qalam: 4). Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka janganlah menyakiti jirannya, barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah memuliakan tetamunya, barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka bercakaplah yang baik-baik atau diam. (Sahih Al-Bukhari: 75).

Ayuh kita semua menyulam adab dan akhlak yang baik dalam pakaian harian bangsa Malaysia agar kekal sebagai suatu cara hidup yang boleh menjamin keharmonian dan kemajuan Negara ke arah yang lebih cemerlang dan gemilang. Bak kata Tun Mahathir suatu ketika dahulu “Malaysia Boleh”. Justeru kita tekadkan azam untuk terus fokus menyumbang ke arah pembangunan insan dengan ilmu, amal dan adab pasti kejayaan dalam genggaman semua ahli keluarga Malaysia yang tercinta.

Akhir kalam, kelestarian sebuah kemerdekaan bergantung kepada kualiti ilmu yang membentuk adab yang tinggi, jatidiri yang kebal dan merdeka minda dari unsur-unsur yang menjatuhkan ketamadunan insan. Bak ikan di laut walaupun laut itu masin tetapi tidak menembusi isi ikan yang tetap manis.

Dr Aizan Bt Ali@ Mat Zin
Pensyarah Kanan
Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast