Barisan Atlet dan penggiat sukan Pahang bergambar selepas Pelancaran Pahang Pride Athlete serta pembukaan Akademi Golf dan E-Sport Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan hari ini.

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang menyediakan peruntukan sebanyak RM8.2 juta bagi 1,000 atlet dan penggiat sukan kelahiran negeri itu yang berhasrat menceburi bidang keusahawanan.

Menteri Besar, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, industri sukan bukan hanya berkisar kepada aspek pengurusan dan pentadbiran, tetapi ia turut melibatkan bidang peruncitan dan pemasaran.

“Ia bergantung case by case. Sesetengah atlet tu mungkin mempunyai minat berlainan, tapi jika mereka yang minat untuk menceburi keusahawanan, kita akan bantu,” katanya.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Pahang Pride Athlete serta pembukaan Akademi Golf dan E-Sport Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, hari ini.

Jelasnya, ia juga merupakan tanda sokongan kerajaan yang mahu memberi ruang dan peluang kepada golongan itu yang berminat untuk meneroka minat lain selain bidang sukan.

“Selain itu, bagi menghargai sumbangan para atlet yang telah mengharumkan nama negeri pada tahun ini, saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan sumbangan one-off sebanyak RM300 setiap seorang kepada 1,000 orang atlet yang menjadi kebanggaan negeri dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM300,000,” katanya.

Mengulas mengenai pelancaran Pahang Pride Athlete, beliau berkata, program terbabit mampu mengangkat industri sukan di negeri ini ke peringkat lebih tinggi.

Selain penyediaan fasiliti dan kemudahan atlet yang berkualiti tinggi, beliau berkata, program itu bermatlamat untuk menjadikan Negeri Pahang sebagai hab sukan atau pusat tumpuan kepada kemajuan sukan-sukan di Pantai Timur.

“Kerajaan Negeri juga berhasrat mewujudkan satu garis panduan bagi mengukur dan mengiktiraf kemajuan serta pencapaian sukan anak-anak Pahang, termasuklah para atlet yang telah berhempas pulas berjuang untuk mengharumkan nama negeri dan negara,” katanya.

Wan Rosdy juga berharap dengan segala perancangan, peruntukan dan pelaksanaan pembangunan untuk para atletnya, Pahang mampu melahirkan lebih ramai jaguh bertaraf dunia dalam semua bidang sukan.

Sementara itu, jaguh silat negara, Muhammad Al Jufferi Jamari, 30, yang ditemui menyifatkan program PPA merupakan suatu inisiatif yang baik untuk para atlet kelahiran Pahang.

Jaguh silat negara, Muhammad Al Jufferi Jamari

“Kalau zaman saya dahulu, kita berlatih dan kita pupuk semangat. Apabila suatu bidang sukan itu terlihat cemerlang, dengan pemberian elaun dan penghargaan seperti ini, lebih memberi semangat kepada atlet pelapis,” katanya.

“Bila nama Pahang Pride Athlete ni, atlet muda-muda ni perlu ada ‘pride’ itu, jiwa sukan dalam diri mereka,” tambah atlet kelahiran Pahang itu.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sejumlah RM1.3 juta ringgit, khusus untuk pembangunan akademi sukan dan program E-Sport melalui PPA.

Pengerusi Koperasi E-Sport Pahang Berhad (KEPB), Amirul Shafiq Sukor, 29 yang ditemui turut menyambut baik pelancaran program PPA hari ini yang disifatkan bersesuaian untuk belia, khususnya dalam bidang e-sport.

Pengerusi Koperasi E-Sport Pahang Berhad (KEPB), Amirul Shafiq Sukor

“Cuma kita harap dari segi peruntukan tu dapat diagihkan dengan teliti, sebab sukan e-sport meliputi banyak cabang dari segi ekonominya,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast