Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di mahkamah bagi mengikuti prosiding kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor antara yang hadir untuk mengikuti perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan suaminya, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Beliau bergegas masuk ke mahkamah sebaik sahaja turun daripada kenderaannya.

Rosmah yang mengenakan baju kurung batik dan selendang berbunga merah jambu tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira jam 12.22 tengah hari tadi dengan menaiki kereta Mercedes Benz hitam.

Najib muncul kali pertama selepas dimasukkan ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman berhubung kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Terdahulu, anak perempuan Najib,  Nooryana Najwa tiba bersendirian di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira jam 9.28 pagi tadi.

Selang 19 minit kemudian, peguam utama Tan Sri Shafee Abdullah pula tiba di mahkamah sama kira-kira jam 9.47 pagi tadi.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pekan itu hadir ke Mahkamah Tinggi di sini kira-kira jam 8.27 pagi tadi bagi menghadiri perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas mahkamah mengeluarkan perintah kepada pihak penjara supaya Najib menghadiri prosiding hari ini di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama. – MalaysiaGazette