Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR – Dakwaan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ditekan dalam Mesyuarat Biro Politik UMNO pada Rabu lalu adalah cubaan untuk memecahbelahkan kepimpinan parti itu.

Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ada pihak luar sengaja mengambil kesempatan menggunakan perkembangan terbaru dalam parti itu untuk meraih kelebihan politik dengan mensasarkan Perdana Menteri itu.

“Tak ada, itu semua bohong, kasihan lah dekat Perdana Menteri,  itu semua ada orang buatlah, Media sosial ini masalahnya.

“Ada orang ambil kesempatan pasal apa berlaku ini untuk pecah-belahkan orang, semua tahu Ismail Sabri Yaakob, Naib Presiden parti UMNO, dia jadi Perdana Menteri, Zahid jadi Presiden,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini.

Ahli Parlimen Padang Terap itu diminta mengulas dakwaan beberapa portal kononnya Perdana Menteri diberikan kata dua supaya mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) secepat mungkin atau dipecat daripada parti.

Beliau turut menafikan kata dua yang diberikan kepada Ismail Sabri jika tidak memenuhi tuntutan yang dikemukakan pada mesyuarat itu.

“Dua benda berlainan di tengah-tengah itu untuk pecahkan. Siapa nak pecah belahkan ini… orang itu nak pergi ke pilihan raya juga,” jelas Mahdzir.

Ditanya mengenai agenda pertemuan pada sesi taklimat khas Presiden UMNO esok, beliau berkata ia adalah untuk mengukuhkan parti.

“Ia lebih kepada atas nama untuk mengukuhkan parti,” katanya.

UMNO dijadual mengadakan sesi Taklimat Khas Presiden bersama semua pimpinan parti itu termasuk Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian, petang esok di Pusat Dagangan Dunia Putra (WTCKL) jam 2 petang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast