Misi Irfan Bakti belum selesai bersama Kuching City FCsehingga menamatkan saingan dalam kelompok tiga terbaik liga musim ini.Gambar MFL

KUALA LUMPUR – Misi Kuching City FC untuk menduduki kelompok tiga terbaik Liga Premier 2022 mampu dicapai dengan berbaki dua perlawanan.

Semalam, pasukan kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu meraih kemenangan ketiga berturut-turut dalam aksi menentang Selangor FC 2, semalam.

Beliau menyifatkan kedudukan Kuching City lebih selesa ketika ini apabila berada di tempat keempat liga dan optimis pasukan itu mampu meneruskan rentang kemenangan dalam dua aksi akan datang.

Irfan berpuas hati dengan tahap keyakinan yang dipamerkan pemainnya yang merekodkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Selangor FC 2.

“Walaupun Selangor FC 2 menurunkan sebahagian daripada pemain pasukan utama mereka, tetapi pemain kami ada disiplin untuk mempertahankan serangan mereka.

“Alhamdulillah dengan tiga mata ini, kita sebenarnya nak ke Liga Super secara merit dan bukan hanya semata-mata diletakkan di Liga Super untuk beraksi.

“Ada baki dua perlawanan lagi yang mana pada 4 September ini kita akan bertemu Kelantan United FC yang mana kita tidak pernah menang lagi sejak tahun lepas dan aksi awal tahun ini kita terikat seri.

“Jadi, kali ini kita turun dengan wajib menang ke atas Kelantan United FC dan insyaAllah memang kita nak menang baki semua perlawanan untuk menduduki tiga terbaik sebab tahun lepas kita menamatkan saingan di tangga kelima dalam liga,” kata beliau.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Selangor FC 2, Rusdi Suparman mengakui kesilapan kecil telah menghukum pasukannya sehingga terpaksa tunduk kepada Kuching City walaupun pemain telah memberikan yang terbaik sepanjang 90 minit perlawanan.

Menurutnya, beliau berpuas hati daripada segi taktikal dan individu aksi yang dipamerkan pasukan, namun Kuching City memberi persembahan terbaik.

“Mereka (Kuching City FC) memiliki penyerang yang juga penjaring gol terbanyak dalam liga ketika ini, jadi mereka berjaya memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diperolehi dalam perlawanan itu apatah lagi di halaman sendiri.

“Jaringan yang diperoleh Kuching juga adalah kesilapan sendiri, bukan disebabkan taktikal atau corak permainan, cuma kesilapan kecil kami di hadapan gol memudahkan mereka menjaringkan gol”, katanya.

Keputusan semalam menyaksikan Kuching City menduduki tangga keempat dalam carta liga dengan mengutip 30 mata sementara Selangor FC 2 berada di tangga kelapan selepas mencatatkan empat kekalahan berturut-turut.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast