MELAKA – Sejak lebih 10 tahun lalu, saban hari 55 peniaga deretan rumah kedai di pekan kecil Jalan Pulau Gadong, Klebang di sini terpaksa menahan bau busuk.
Bau itu datang daripada pelbagai sisa sampah yang dibuang secara tidak terkawal di tong sampah berpusat di hadapan premis mereka.
Keadaan itu berpunca daripada sikap segelintir penduduk luar yang menjadikan kawasan itu seperti tempat tapak pembuangan sampah sehingga lebihan sisa buangan melimpah dari tong yang disediakan.
Situasi itu sekaligus menimbulkan rasa tidak selesa peniaga deretan premis terbabit sehingga ianya berlarutan lebih 10 tahun yang turut menjejaskan imej Melaka sebagai negeri pelancongan.
Peniaga kedai makan, Rohana Samad, 51, mendakwa sejak berniaga di situ lebih 10 tahun lalu, dia melihat pelbagai sisa sampah kebanyakan makanan dibuang orang luar bukan peniaga kawasan berkenaan.
“Selama ini memang banyak kali saya nampak banyak orang luar datang ke tong sampah berpusat ini kemudian mereka akan campakkan sahaja sisa sampah di situ tanpa keluar dari kenderaan.
“Bila tong sudah penuh pun, mereka main campak sahaja di tepi jalan dan akhirnya kami pula menjadi mangsa terpaksa tahan hidung dan sakit mata melihat kawasan jalan yang kotor,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Pandangan sama disuarakan peniaga lain, Muhammad Amirul Asyraf, 33, apabila keadaan yang semakin tidak terurus itu turut menjejaskan perniagaannya telefon bimbitnya.
“Nak salahkan pelanggan bila mereka pilih ke kedai lain pun tak boleh kerana memang sepatutnya mereka mengutamakan kebersihan cuma apa yang dikesalkan kami menjadi mangsa sikap pengotor orang luar,” katanya.
Permasalahan yang dihadapi peniaga itu turut mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Klebang Besar
Datuk Mohd Yusof Abu Hasan, sekaligus menamatkan derita 10 tahun itu.
Ia susulan pemberian 55 tong sampah persendirian berkapasiti 120 liter yang akan diletakkan di hadapan premis peniaga sekaligus menghalang individu lain menggunakannya.
“Kita akan menjadi perintis kepada projek ini yang bertujuan menjaga imej Melaka sebagai sebuah negeri bersih untuk menarik lebih ramai pelancong seperti sebelum ini.
“Saya juga akan mengadakan kerjasama dengan Jawatankuasa Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN), Klebang dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) untuk menutup semua 16 tapak tong sampah berpusat di sekitar Klebang yang disalahgunakan menjadi tapak sampah haram,” katanya.
Tambahnya, setiap tong sampah individu itu diharap dapat dijaga dengan baik selain rakyat sendiri perlu meningkatkan kesedaran mereka terhadap kebersihan dan mengikis tabiat buruk yang boleh mengundang penyakit. – Malaysia Gazette