Datuk Seri Anwar Ibrahi.- Foto MUHD NA'IM, 27 OGOS 2022.

SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menumpukan sepenuh jenteranya ke arah kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan dalam waktu terdekat ini.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, parti itu dengan jenteranya di seluruh negara telah menetapkan beberapa strategi ke arah itu bukan lagi soal bila PRU akan diadakan.

“Fokus kita hari ini adalah pilihan raya dan Pengarah Pilihan Raya PKR (Rafizi Ramli) telah menetapkan beberapa strategi dan kita telah bersiap sedia. Bila PRU akan diadakan sama ada bulan depan atau pun tahun depan bukan soalnya lagi.

“Kita lihat semangat rakan-rakan kita (DAP dan Amanah) untuk turun dan bekerja begitu kuat sekali,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat Presiden di Konvensyen Pilihan Raya Keadilan di sini hari ini.

Kira-kira 3,500 perwakilan dari seluruh negara hadir ke konvensyen yang diadakan di Kompleks Belia dan Sukan Selangor itu.

Menurut Anwar, walaupun ada beberapa kelemahan pengurusan parti terutama di Melaka dan Johor dengan semangat konsesus kepimpinan, keadaannya sekarang sudah kembali baik.

Katanya, memandangkan PKR bersama Pakatan Harapan (PH) dan bergerak dalam satu pasukan maka diakui tidak dapat dielak perkara yang terpalit dengan penguasaan selama 22 bulan.

“Kita tahu dalam tempoh pentadbiran itu ada sumbangannya dan ada juga kelemahannya.

“Namun, kalau kita pergi ke bawah semuanya membangkitkan soal PH, sebab itu dalam mesyuarat PH yang lalu, keputusan kita ialah untuk bersama dengan menggunakan satu logo.

“Kita bekerjasama dalam satu pasukan dan lakukan beberapa penyesuaian supaya tidak dibebankan rakyat dengan anggapan atau andaian bahawa kita mempunyai pendekatan yang sama,” ujar beliau.

Anwar mengaku PKR di bawah Rafizi sebagai Pengarah Pilihan Raya parti, mempunyai strategi yang jauh berbeza dan beliau dalam menyelesaikan masalah dalam masa singkat.

Ditanya bilakah PRU-15 kemungkinan akan diadakan, beliau secara berseloroh menyatakan belum tanya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob lagi.

Tetapi, katanya, gerak kerja PKR dan PH umumnya sudah siap sedia hingga September ini dan Oktober dalam keadaan kesiapsiagaan.

“Siap siaga mulai Oktober sebab Bajet 2023 pada 7 Oktober. Kita tahu Ismail lemah menghadapinya kerana terpaksa hadapi tekanan UMNO. Dia bukan PM yang mampu memutuskan atas kebijaksanaannya sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette