Rafizi Ramli

SHAH ALAM – Rafizi Ramli mengingatkan pemimpin dan ahli PKR jangan jadi seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan rakan-rakannya yang sanggup tikam belakang kerana tidak dapat apa yang dikehendakinya.

Sebalikny, Timbalan Presiden PKR itu menegaskan, jadilah pemimpin dan ahli yang mementingkan kepada tanggungjawab serta amanah demi untuk masa depan anak dan cucu mereka.

“Setiap dari kita harus tanam dalam diri, kita masuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) bukan kerana merebut jawatan tetapi kerana tanggungjawab dan amanah untuk menjaga rakyat.

“Kalau ada dalam kalangan pemimpin dan ahli kita tidak dapat jadi calon PRU ini, jangan buat hal.

“Kalau ada yang kita dengar kamu tidak dapat jawatan dalam kerajaan, jangan kamu tikam belakang macam (Datuk Seri Mohamed) Azmin (Ali) dan rakan-rakan.

“Kita ada tanggungjawab dan amanah sebab kita ada anak dan cucu. Tidak adil untuk kita wariskan kepada mereka hutang yang banyak untuk rakyat tanggung,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dan pidatonya di Konvensyen Pilihan Raya Keadilan 2022 di Kompleks Belia dan Sukan Selangor di sini hari ini.

Beliau turut memberi tempoh sebulan dari sekarang untuk mengenal pasti calon yang sesuai dalam kalangan akar umbi untuk bertanding pada PRU-15.

Rafizi juga yakin PH dapat mempertahankan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, malah ada peluang membentuk kerajaan Persekutuan pada PRU-15 ini.

“Bila soal tarikh PRU, biar mereka (UMNO) yang bergaduh. Yang saya nak beritahu, kita sudah bersedia bila-bila masa,” katanya. – MalaysiaGazette