Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap kepada media selepas hadir ke Himpunan Nasional Berjasa di Bangunan Bank Rakyat, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menjangkakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak akan diadakan pada tahun ini memandangkan parti memerintah  belum bersedia.

Pengasas Gerakan Tanah Air (GTA) berpendapat kerajaan ketika ini sedang mencari masa yang sesuai untuk memastikan mereka sudah diterima rakyat  untuk berdepan PRU dengan selesa dengan sokongan penuh untuk membentuk kerajaan baharu nanti.

“Secara peribadi saya tak jangkakan PRU akan diadakan tahun ini khususnya sebelum Bajet 2023 (7 Oktober ini) tapi kita tak tahu sebab Ahmad Zahid Hamidi (Presiden UMNO) mahukan PRU diadakan tahun ini sebab dia sedang berdepan kes perbicaraan rasuah di mahkamah dan saya fikir PM (Ismail Sabri Yaakob) tak berapa cenderung  (segerakan PRU).

“Jika PRU diadakan segera, PM yang ada sekarang akan kehilangan jawatan dia, jika mereka (UMNO-BN) menang pun Ismail Sabri tidak akan menjadi PM lagi..jadi dia mahu berseronok kekal sebagai PM selama yang mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan Himpunan Nasional Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) 2022 di ibu negara hari ini.

Tambah Dr. Mahathir, kebiasaannya sesebuah kerajaan akan mengadakan PRU apabila percaya mereka mempunyai peluang besar untuk menang dan membentuk kerajaan memerintah yang kukuh.

Akan tetapi kali ini, beliau merasakan ramai ahli UMNO percaya mereka boleh menang dan membentuk kerajaan.

“Tetapi beberapa pemimpin dalam parti UMNO hanya mahu PRU diadakan untuk menyelamatkan kedudukan mereka.. saya rasa UMNO yang mana kerajaan sekarang sudah berpecah dan tidak berada dalam kedudukan yang boleh membuat keputusan bersama dalam soal PRU,” tegasnya.-MalaysiaGazette