KUALA LUMPUR – Parti-parti politik Melayu-Islam perlu meneroka ruang yang masih bersisa untuk melakukan pakatan pilihan raya bagi menghalang Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata, mereka juga mesti mengurangkan serang-menyerang sesama sendiri.
“Adakan pakatan pilihan raya di negeri-negeri dan kerusi-kerusi tertentu. Dengan kehendak Allah, PH akan kecundang kali ini,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.
Atau, parti-parti politik Melayu-Islam boleh sahaja terus menyerang sesama sendiri.
Mereka juga boleh menutup semua pintu kerjasama yang boleh mengelakkan pertembungan tiga penjuru di semua negeri dan semua kerusi.
“Natijahnya PH boleh kembali berkuasa,” jelas Mohd Zuhdi.
Pada 12 Ogos lalu, Mohd. Zuhdi membayangkan PH mungkin kembali berkuasa selepas PRU-15 jika UMNO dan Pas gagal bermuafakat untuk mengelak pertembungan antara kedua-dua parti di 27 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia.
Menurut beliau, pada PRU-14, sebanyak 20 daripada 27 kerusi tersebut terlepas ke tangan PH sehingga membolehkan mereka membentuk kerajaan manakala baki tujuh lagi kerusi adalah sangat berisiko untuk jatuh ke tangan PH pada PRU-15 memandangkan kekalahan mereka di kerusi-kerusi tersebut adalah sangat tipis.
Antara kerusi-kerusi Parlimen yang dimenangi PH pada PRU-14 ekoran pertembungan antara calon-calon Pas dan UMNO adalah Kangar, Kubang Pasu, Merbok, Kulim-Bandar Baharu, Tambun, Lumut, Temerloh, Sungai Besar, Kuala Selangor, Sepang, Setiawangsa, Titiwangsa, Kuala Pilah, Tampin, Tangga Batu, Ledang, Muar, Sri Gading, Pasir Gudang dan Pulai.
Tujuh kerusi Parlimen yang menyaksikan calon-calon UMNO serta Pas menang tipis adalah Jerai, Baling, Kuala Kangsar, Tanjong Karang, Jasin, Pontian dan Labuan.
Pada 17 Ogos lalu, media melaporkan, Mohd. Zuhdi berkata, UMNO dan Pas telah bersetuju untuk mengelakkan pertembungan di tiga kerusi Parlimen pada PRU-15. – MalaysiaGazette