Mayat mangsa dikeluarkan oleh bomba sebelum dibawa polis ke forensik Hospital Sungai Boloh untuk proses bedah siasat dalam kejadian yang berlaku petang tadi. Ihsan Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Tindakan dua remaja kenalan rapat yang bermain api di depan sebuah tandas awam berakhir dengan tragedi apabila seorang rakan mereka maut di dalam tandas awam yang kemudian terbakar.

Kejadian menyayat hati itu berlaku di Lorong Cakera Purnama 12/21 Saujana Utama, di Sungai Buloh hari ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, pihak polis telah menerima maklumat mengenai insiden itu jam 2.38 petang tadi.

Katanya, menurut rakan mangsa iaitu dua remaja lelaki masing-masing berusia 15 dan 16 tahun, semasa kejadian simati sedang baring di atas sofa yang ada di dalam tandas awam itu.

“Kebakaran bermula apabila dua rakan mangsa bermain api di hadapan pintu tandas berkenaan sebelum api menjadi besar dan tidak terkawal.

“Mangsa berusia 16 tahun dikatakan sudah tertidur di dalam tandas berkenaan tetapi sudah terjaga ketika kejadian kebakaran itu.

“Kedua-dua rakannya ada memanggil mangsa untuk keluar segera dari tandas itu, namun simati (remaja lelaki) terbabit baring semula di atas sofa berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tandar awam terbiar tidak berpintu tempat berlaku kebakaran sehingga mangsa terperangkap dan maut dalam tragedi tersebut di Saujana Impian Sungai Boluh hari ini. Ihsan IPD sungai Buloh

Tambah Shafa’aton, melihat api yang tidak dapat dikawal, dua rakan mangsa cuba membantu memadamkan kebakaran itu namun api semakin besar dan tidak berjaya dipadamkan sehingga pihak bomba tiba di lokasi kejadian.

Jelas beliau, siasatan awal daripada pihak bomba mendapati tiada sebarang halangan atau objek yang menghalang mangsa untuk keluar dari lokasi kejadian.

“Tandas yang terbakar itu tidak mempunyai pintu dan mangsa boleh melarikan diri untuk menyelamatkan diri manakala pemetik api yang digunakan dalam kejadian itu turut terbakar di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan di lokasi terbabit mendapati tiada sebarang unsur jenayah. Lokasi kejadian iaitu tandas awam berkenaan sudah lama tidak digunakan dan dalam keadaan terbiar.

“Mangsa dan dua rakannya itu bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puncak Alam 3 dan mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian,” tegas beliau. -MalaysiaGazette