mohamaddin ketapi
Mohamaddin Ketapi

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi mengumumkan beliau menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Memetik laporan Malay Mail, beliau menyatakan, keputusan itu dibuat kerana tertarik dengan sinergi elemen Malaysia Timur dan Semenanjung Malaysia dalam parti tersebut.

“Saya memilih PBM selepas meneliti perlembagaan parti yang memperjuangkan hak-hak Borneo di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

“Dengan perjuangan ini, kami dari Sabah akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada PBM dan Parti Kuasa Rakyat untuk merealisasikan matlamat tersebut,” katanya dalam sidang media di Kota Kinabalu, hari ini.

Dengan penyertaan Mohamaddin itu, PBM kini mempunyai empat ahli Parlimen. Tiga Ahli Parlimen lain ialah Datuk Larry Sng (Julau), Datuk Zuraida Kamaruddin (Ampang) dan Steven Choong (Tebrau).

Bekas Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan era Pakatan Harapan (PH) itu memenangi kerusi Parlimen Lahad Datu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atas tiket Parti Warisan Sabah (Warisan).

Sebelum menyertai Warisan pada 2018, Mohamaddin bersama Parti Bersatu Sabah (PBS) sejak 1985.

Namun, beliau keluar dari Warisan pada Oktober tahun lalu dan menjadi wakil rakyat Bebas sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama itu mengumumkan keluar dari Bersatu pada 28 Jun lalu dan kembali menjadi wakil rakyat Bebas.

Beliau juga pernah mencetuskan kontroversi apabila mendakwa insiden pencerobohan Lahad Datu pada 2013 sebagai satu sandiwara ketika menyampaikan ceramah dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di Kampung Wawasan pada 20 September 2020. – MalaysiaGazette