BAYAN LEPAS – Remaja perempuan yang ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat 11 kediamannya di sebuah kondominium di Jalan Persiaran Bayan di sini, hari ini dikatakan meninggalkan nota buat keluarganya.
MalaysiaGazette difahamkan, mangsa berusia 13 tahun itu menulis tindakan dia menamatkan hidupnya dalam sebuah buku nota tanpa memaklumkan sebarang sebab.
Difahamkan, mangsa seorang pendiam dan pasif berbanding adik beradik yang lain.
Terdahulu, kehilangan anak kelima daripada lapan beradik itu disedari ayahnya pada jam 5.30 pagi sebelum menemui mangsa dalam keadaan terbaring di bahagian bumbung konkrit tempat letak kenderaan kondominium berkenaan sejam kemudian.
Mangsa dikatakan mengalami kecederaan pada bahagian anggota badan termasuk patah tangan kiri akibat terjatuh dari tempat tinggi.
Difahamkan, pemeriksaan pihak polis dan forensik tidak menemui sebarang unsur jenayah dalam kes tersebut.
Sementara itu, ibu mangsa yang enggan dikenali berkata, kejadian ini merupakan dugaan besar buat mereka sekeluarga yang baru saja pulang menunaikan ibadah Haji bulan lepas.
Jelasnya, tiada sebarang perubahan ditonjolkan anak perempuannya itu yang dlihat kali terakhir selepas solat jemaah fardu Isyak.
“Semalam dia (mangsa) solat dan mengaji macam biasa sebelum saya dan suami keluar pergi hantar kakaknya ke asrama sekolah. Tak sangka pagi ini kami dikejutkan dengan kejadian sebegini.
“Maaf, saya tidak mahu mengulas lanjut kerana masih terkejut dengan kejadian ini. Tolong beri kami ruang,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang hari ini.
Terdahulu, wanita tersebut dilihat ada di hospital bersama suami serta empat lagi anaknya pada jam 3 petang bagi menunggu proses bedah siasat dilakukan.
MalaysiaGazette pagi tadi melaporkan seorang remaja perempuan maut selepas terjatuh dari kediamannya di tingkat 11 sebuah kondominium di Jalan Persiaran Bayan di sini.
Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di bahagian bumbung tempat letak kenderaan kondominium tersebut. – MalaysiaGazette