Pihak polis dan forensik sedang menjalankan siasatan di lokasi seorang remaja perempuan maut selepas dipercayai terjatuh dari kediamannya di sebuah kondominium di Persiaran Bayan Indah, Bayan Lepas, Pulau Pinang hari ini.

BAYAN LEPAS – Seorang remaja perempuan maut selepas dipercayai terjatuh dari kediamannya di tingkat 11 sebuah kondominium di Persiaran Bayan Indah 1, berhampiran kompleks beli-belah Queensbay di sini, hari ini.

Mangsa berusia 13 tahun itu ditemui dalam keadaan tertiarap di bahagian bumbung tempat letak kenderaan kondominium tersebut.

Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat 11 kediamannya.

Difahamkan, kejadian itu disedari bapa mangsa pada jam 6.30 pagi sebelum memaklumkan kepada ibunya untuk menghubungi pihak polis bagi tindakan lanjut.

Mayat mangsa dihantar ke Hopsital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.

MalaysiaGazette difahamkan, mangsa seorang yang pasif.

Pihak bomba menggunakan tangga untuk menurunkan mangsa dari lokasi dia ditemui jatuh.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Rohaizal Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan bantuan kecemasan pada jam 6.48 pagi sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Kita bantu pihak polis dan Kementerian Kesihatan (KKM) menurunkan mangsa dari bumbung tempat letak kenderaan itu.

“Pihak kami menurunkan mangsa menggunakan tangga memandangkan ketinggian tempat dia jatuh dengan lantai bawah kira-kira lima meter.

Keluarga turut berada di lokasi ketika mayat mangsa diturunkan.

“Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya jam 11.45 pagi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini. – MalaysiaGazette