Peserta melakukan perbarisan pada sesi raptai penuh sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 29 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Seramai 20,000 orang menyertai kontinjen bagi sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan 2022 di Dataran Merdeka berbanding 16,000 orang sebelum ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, penambahan peserta dalam perarakan itu dilakukan atas permintaan pelbagai pihak dan ia merupakan jumlah terbesar setakat ini.

“Alhamdulillah hari ini raptai penuh dengan beberapa penambahbaikan yang kita telah buat, nampaknya berjalan dengan baik, hampir sempurna. Dari segi masa boleh dikatakan cukup perfect. Kita harap keadaan ini boleh dikekalkan pada hari sebenar nanti.

“Kita bermula dengan 10,000, peserta kemudian naik 16,000 dan sekarang 19,000 dan sekarang kita terpaksa memenuhi banyak permintaan dan kini yang terlibat dalam perarakan kita ini hampir 20,000 peserta,”katanya dalam sidang media.

Beliau berkata demikian selepas meninjau raptai penuh acara perarakan dan perbarisan di Dataran Merdeka, hari ini.

Peserta melakukan persembahan pada sesi raptai penuh sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 29 OGOS 2022.

Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa InduksSambutan  Ulang Tahun Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2022 memaklumkan orang ramai termasuk menteri, timbalan menteri dan orang kenamaan (VVIP) diminta hadir lebih awal pada Rabu ini bagi mengelakkan kesesakan berlaku.

“Kepada orang awam rakyat, kita galakkan semua datang lebih awal supaya tiada timbul sebarang masalah kerana sememangnya 7.30 pagi itu jalan masuk ke pentas diraja terpaksa ditutup kerana pengawal kehormat akan mengambil tempat pada jam 7.35 pagi. Kalau selepas 7.30 pagi kena berjalan kaki daripada luar kerana jalan kita dah tutup.

“Saya juga ingin ucap terima kasih pada semua kontinjen yang telah mengadakan latihan dan para peserta yang buat pertunjukan, artis dan atlet. Saya doakan semua pada hari sebenar nanti berjalan lancar seperti mana yang kita rancang tadi.

“Saya berharap mood ini bukan sahaja pada acara perarakan 31 Ogos. Kita tetapkan sambutan kali ini mestilah sambutan rakyat yang disusuli dengan di tempat masing-masing termasuk di rumah dan komuniti masing-masing,” ujarnya.

Aset ATM ketika perarakan pada sesi raptai penuh sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 29 OGOS 2022.

Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan 2022 bertema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ bakal disambut di Dataran Merdeka dengan sasaran pengunjung seramai 50,000 selepas dua tahun negara tidak mengadakan sambutan berkenaan secara besar-besaran akibat pandemik Covid-19.

Acara perbarisan dan perarakan pada Rabu ini akan dimulakan dengan ketibaan pembesar negara, sebelum keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riíayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, dengan menaiki kereta kuda Diraja.

Ia diikuti lintasan hormat pesawat membawa Jalur Gemilang serta tembakan 14 das meriam yang menjadi antara acara tradisi sambutan Hari Kebangsaan. – MalaysiaGazette