PUTRAJAYA – ”Kepentingan negara sepatutnya mendahului kepentingan parti,” respons Tan Sri Muhyiddin berhubung penolakan Pakatan Harapan (PH) untuk menjalinkan kerjasama dengan gabungan tersebut.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa, gabungan itu membuat cadangan tersebut kerana rakyat mahu melihat parti politik dalam negara menawarkan jalan penyelesaian untuk menyelamatkan negara menerusi sebuah kerjasama.
”Kita melihat cadangan itu kerana kita nak menentukan supaya masa depan negara akan lebih selamat. Kita tidak akan terus terjerumus dalam kancah kleptokrasi, rasuah, salah guna kuasa yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
”Itu bukan kebimbangan saya, itu kebimbangan rakyat. Sebab itu yang saya suarakan, itu bukan soal kepentingan PN, tapi untuk kepentingan negara.
“Oleh itu, saya serahkan untuk pimpinan-pimpinan politik untuk memikirkan, soalnya adakah kamu memikirkan tentang parti kamu atau negara?,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Majlis Pemulihan Negara (MPN).
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat yang menoktahkan untuk tidak bekerjasama dengan PN pada PRU15.
Muhyiddin berkata, kerjasama parti menuntut keberanian untuk menyelamatkan keadaan.
“Pasal saya tahu di luar ramai rakyat mahu kalau boleh ada usaha dibuat untuk menyatukan bukan pihak pembangkang, tapi parti-parti untuk menawarkan yang lebih baik kepada rakyat bila sampai pilihan raya,” tambahnya.
Mengulas lanjut Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, isu siapa Perdana Menteri selepas pilihan raya tidak wajar dijadikan keutamaan dalam sebuah kerjasama yang dijalinkan sebaliknya memastikan kesan positifnya kepada negara.
“Tidak perlu fikir siapa nak jadi Perdana Menteri, selamatkan negara dahulu. Itu bagi saya kalau Rafizi jawab tidak setuju, tidak setujulah, saya bukan tidak kenal, saya kenal dialah,” tambah beliau.
Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, beliau terbuka dengan penolakan yang disuarakan Rafizi.
”Tidak mengapa itu satu pandangan kalau dia kata tidak mahu, tidak mengapa,” ujar beliau. – MalaysiaGazette
Memang pun. Aku sokong rafizi 200% . Kita hidup bermaruah . Sekali tikam belakang selamanya akan jadi kenangan . Pru dahulu pun tiga penjuru ph boleh menang . Apa nak takut pru kali ini . Orang baik akan pilih yang baik juga . Kecuali orang jahat saja akan memilih pemimpin jahat , disitu nanti kita boleh lihat majuriti rakyat malaysia ini orang2 baik atau orang2 jahat . Kalau majuritinya orang jahat kita bersedia lah untok menerima bala secara menyeluruh . itu memang sunah allah yang kita kena terima .