SEPANG – Malaysia bakal memiliki sebuah litar ujian pemanduan berteknologi tinggi pertama di Asia Tenggara pada akhir tahun ini.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata, litar sepanjang satu kilometer dikenali Litar Ujian Berteknologi MIROS (MT3) akan menjadi perintis kepada pelbagai ujian sistem keselamatan aktif dan pasif kenderaan baharu tempatan dan import.
“Ini selari dengan pelantikan MIROS (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia) sebagai Pusat Keselamatan Jalan Raya ASEAN di mana MIROS akan menyumbang dan mempromosikan pengetahuan mengenai keselamatan jalan raya dalam kalangan negara anggota ASEAN termasuk undang-undang jalan raya, pengurusan data, pembangunan piawaian, pendidikan dan kesedaran keselamatan jalan raya.
“Ketika saya menghadiri Mesyuarat Peringkat Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Keselamatan Jalan Raya Global di New York pada 30 Jun 2022 lalu, saya juga telah berkongsi tentang pencapaian Malaysia dalam meningkatkan penggunaan teknologi keselamatan kenderaan.
“Pembinaan Litar MT3 (Litar Ujian Berteknologi MIROS) ini dijangka siap sepenuhnya dan beroperasi menjelang akhir tahun ini,” katanya selepas majlis Pecah Tanah MT3 di Bandar KLIA, di sini, hari ini.
Hadir pada majlis Pengerusi MIROS, Dr. Wong Shaw Voon; Ketua Pengarah MIROS, Datuk Dr.Khairil Anwar Abu Kassim; Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Zailani Hashim dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, Datuk Abd Hamid Hussain.
Menurut Ka Siong, bidang keutamaan yang difokuskan adalah penggunaan kenderaan yang lebih selamat merangkumi kebolehjalanan, terutama melibatkan kenderaan sedia ada dan persediaan ke arah penggunaan kenderaan generasi baharu.
Tambah beliau, makmal MT3 berpotensi menjadi pemangkin ke arah pencapaian yang lebih cemerlang, dengan disokong oleh program sedia ada seperti Program Penilaian Kenderaan Baharu ASEAN (NCAP) dan Program Penilaian Motosikal Malaysia (MyMAP).
Katanya, pembangunan litar itu dijangka dapat menarik pihak swasta dan agensi lain bekerjasama dengan MIROS bagi memastikan kenderaan yang dihasilkan dapat memenuhi spesifikasi yang ditetapkan, selamat digunakan serta bertaraf 5 bintang.
Ka Siong berkata, pengwujudan MT3 akan membolehkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan ujian ke atas kenderaan bagi proses kajian, penyelidikan dan penilaian.
“Contohnya, bagi Proses Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) dan penilaian kenderaan yang mengikut Standard Malaysia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Regulations) di peringkat antarabangsa,” ujar Ka Siong.
Dalam pada itu, Shaw Voon berkata, perancangan dan penilaian dalam bidang keselamatan jalan raya terutamanya berkaitan keselamatan kenderaan dapat dioptimumkan menerusi pengwujudan litar tersebut.
“Ujian yang boleh dilakukan di MIROS MT3 ini di bahagikan dalam empat kumpulan antaranya ujian berkaitan bantuan keselamatan (safety assist) kenderaan penumpang seperti Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Penjejakan Titik Buta atau Blind Spot Detection (BSD), Pembrekan Kecemasan Autonomi atau Autonomous Emergency Braking (AEB) dan Sistem Pembrekan Anti Kunci atau Anti Locking Breaking System (ABS).
“Bagi ujian membabitkan kenderaan komersial pula merangkumi Break Performance, speedometer, steering equipment, manakala bagi ujian motosikal pula adalah tyre or wheel break performance dan infrastruktur jalan iaitu road furniture crash test,” katanya. – MalaysiaGazette