Najib Razak
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) dipeluk ketika menyampaikan BR1M kepada penerima, Harun Abu pada Majlis Pelancaran BR1M Peringkat Kebangsaan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan, Pahang pada 25 Februari 2018.

RAMAI rakyat Malaysia lebih-lebih lagi golongan yang pernah menerima pelbagai bantuan kerajaan semasa era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dahulu berasa sedih dan pilu dengan nasib yang menerima bekas Perdana Menteri itu.

Mereka tidak dapat melupakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan persekolahan, program 1AZAM, Baucar Buku 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Klinik 1Malaysia, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) serta banyak lagi inisiatif yang dilaksanakan menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Sejak mula menyandang jawatan Perdana Menteri pada 3 April 2009 sehingga kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang akibat gelombang fitnah Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), aspek kebajikan rakyat sentiasa diutamakan oleh Najib. Tindakan itu selaras dengan gagasan 1Malaysia yang sentiasa meletakkan rakyat di hadapan dalam apa jua perkara.

Namun, selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu mengekalkan sabitan, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas beliau dalam kes SRC International, timbul suara sumbang dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan (PH) yang menghasut rakyat untuk meremehkan jasa-jasa Najib terhadap rakyat dan negara.

Malah, mereka cuba menidakkan jasa Najib dengan mendakwa segala bantuan yang disalurkan kepada golongan yang memerlukan itu menggunakan dana kerajaan dan bukannya datang dari poket Perdana Menteri sendiri.

Bagi Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub, sikap penyokong PH terus menerus menafikan jasa Najib kepada negara dan rakyat itu bukan sesuatu yang menghairankan kerana memang itu kerja mereka.

“Tidak ada yang peliknya. Tetapi rakyat tahu apa yang telah Najib buat selama menjadi Perdana Menteri. BR1M, bantuan khas kepada nelayan, petani, penoreh dan peneroka. Klinik 1 Malaysia, KR1M dan lain-lain. Menghantar pemimpin masyarakat dan imam serta bilal menunaikan fardhu haji.

“Memang benar ia tanggungjawab Perdana Menteri dan bukan menggunakan duit sendiri. Tapi kenapa Perdana Menteri sebelumnya tidak berbuat seperti Najib buat walaupun 22 tahun menjadi Perdana Menteri?” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Mustapha Yaakub
Mustapha Yaakub

Memang terlalu banyak inisiatif membantu rakyat yang dilaksanakan ketika era pentadbiran Najib dahulu. Sepanjang sembilan tahun pentadbirannya, kerajaan BN pimpinannya turut melancarkan program Rumah Penjawat Awam 1Malaysia, subsidi RM20,000 Rumah Mesra Rakyat, penetapan gaji minimum, elaun tiga bulan kepada pesawah dan nelayan, elaun Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) sebanyak RM2,000, Bantuan Teksi 1Malaysia, Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) serta bantuan khas untuk pekebun kecil getah.

Antara projek yang memberi manfaat kepada rakyat ketika pentadbiran Najib adalah Lebuh Raya Pan Borneo yang tidak mengenakan bayaran tol, aliran transit massa (MRT) dan laluan rel Pantai Timur (ECRL). Tidak ketinggalan program MyDeposit yang bertujuan membantu rakyat membayar deposit rumah, Klinik Bergerak 1Malaysia di kawasan pedalaman dan Pusat Bersalin Berisiko Rendah 1Malaysia.

Banyak kutipan tol lebuh raya dimansuhkan semasa Najib menjadi Perdana Menteri seperti di Lebuh Raya Cheras-Kajang, Plaza Tol Sungai Rasau, Plaza Tol Batu Tiga, Plaza Tol Bukit Kayu Hitam dan Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL). Turut dimansuhkan adalah yuran persekolahan dan hutang peneroka Felda.

tol
Seorang lelaki memegang plakad yang tertera ucapan ‘Terima Kasih Perdana Menteri’ di pekarangan Plaza Tol Sungai Rasau beberapa minit sebelum pelaksanaan pemansuhan kutipan tol Sungai Rasau dan tol Batu Tiga menjelang tengah malam 1 Januari 2018.

Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional juga menikmati diskaun sehingga 20 peratus manakala kuota haji khas diwujudkan untuk pesara dan veteran tentera.

Najib yang juga bekas Menteri Kewangan berjaya meningkatkan saiz ekonomi negara daripada RM700 bilion kepada RM1.4 trilion. Sepanjang pentadbirannya, aset Khazanah Nasional Berhad melonjak daripada RM33 bilion kepada RM116 bilion.

Aset Lembaga Tabung Haji pula naik tiga kali ganda daripada RM31 bilion kepada RM74 bilion manakala aset Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meningkat dari RM300 bilion kepada RM 800 bilion. Rezab Petronas pula naik hampir enam kali ganda daripada RM30 bilion kepada RM176 bilion.

Secara keseluruhan, pentadbiran Perdana Menteri keenam itu berjaya menaikkan jumlah kekayaan negara daripada RM800 bilion kepada hampir RM2 trilion. Sayangnya, semua pencapaian cemerlang Najib itu tidak mampu diteruskan oleh kerajaan PH yang memerintah selama 22 bulan diikuti oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) selama 17 bulan.

Sehubungan itu, Mustapha menyifatkan tindakan penyokong pembangkang menafikan jasa-jasa Najib kepada rakyat dan negara sebagai perbuatan tidak mensyukuri nikmat Allah SWT.

“Mereka adalah orang yang kufur nikmat. Mereka adalah golongan munafik yang menolak kebenaran.

“Golongan ini bukan tidak tahu kebaikan Najib. Tetapi kerana kebencian mereka kepada Najib membuatkan mereka menjadi buta hati,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Rakyat gembira bila dapat bantuan najib . Tapi mereka tak kira pun berapa ribu mereka dapat . Dan mereka tak tanya berapa bilion najib curi harta kerajaan . siapa pun boleh berbuat baik dengan bukan harta sendiri. … dan yang menerima tak kira lah tahu atau tidak apabila harta haram dimakan darah daging nya tetap haram . Inilah pu.ca ramai rakyat mabuk fikiran beramai2 pakat bela tanpa sedar . Kerana darah dagingnya subhat . Insaf lah wahai manusia . Tobatlah dosamu yang kamu tidak ketahui itu .

  2. Pelik, undang-undang sepatutnya terpakai untuk semua, kenapa bila pemimpin mengaku yang dapat bantuan kewangan untuk diri sendiri bukan untuk parti boleh pula terlepas dari cukai LHDN. Kalau najib dapat duit dan sudah dipulangkan duit pun masih kena cukai, sepatutnya duit derma yang diterima oleh sesiapa pun patut dikenakan cukai.

Comments are closed.