MELAKA – Seorang tukang rumah warga Pakistan dijatuhi hukuman 12 bulan penjara selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini, atas tuduhan mencuri motosikal majikannya selepas berang gajinya tidak dibayar Mei lalu.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap Umar Farook, 22, yang membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan niat curang mencuri motosikal Honda FS 150 bernilai RM8,000 kepunyaan Mohd Zamri Sahari, 34.

Kesalahan itu dilakukan di tapak projek Jalan Bukit Duyong, dekat sini, pada kira-kira jam 5.30 petang 30 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun sehingga tujuh tahun dan denda.

Terdahulu, dalam rayuannya, tertuduh yang sudah lima tahun bekerja sebagai buruh binaan di negara ini meminta mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan perlu menyara ibunya yang sudah tua di Pakistan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari bagaimanapun meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah memutuskan tertuduh dikenakan hukuman 12 bulan penjara dari tarikh ditangkap.

Sebelum ini media melaporkan, tertuduh yang ditangkap di satu sekatan jalan di Bentong, Pahang pada 16 Julai lalu membuat pengakuan di hadapan mahkamah dia mencuri motosikal itu kerana gajinya untuk membuat rumah melebihi RM5,000 tidak dibayar majikannya itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast