Kenderaan yang dinaiki tujuh suspek warga Indonesia membawa mayat pemandu e-hailing dalam but kenderaan itu dalam insiden semalam di Jalan Tugu, ibu negara sebelum diberkas polis.-Ihsan IPD Dang Wangi

KUALA LUMPUR – Seramai tujuh warga asing yang ditahan polis  semalam direman hari ini bagi membantu siasatan penemuan mayat pemandu e-hailing di dalam but kereta dalam keadaan kaki terikat dan kecederaan pada muka dan telinga mangsa.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kesemua suspek warga asing, termasuk dua wanita, berusia antara 20 hingga 26 tahun itu direman selama tujuh hari.

“Dalam masa yang sama, tempoh reman seminggu ini sudah pasti cukup untuk membantu memudahkan pegawai penyiasat kami untuk mendalamkan siasatan bagi merungkai motif utama suspek membunuh mangsa,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:Mayat pemandu e-hailing diikat kaki ditemui dalam but kereta

Mayat lelaki itu ditemui selepas dua anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi yang terlibat dalam tugas rondaan cegah komuniti mengesan sebuah kereta Perodua Bezza, di bulatan Hishammuddin, berhampiran Bank Negara, di sini, dipandu dalam keadaan mencurigakan kira-kira 6.30 pagi.

MPV polis itu  kemudian telah mengejar kereta berkenaan sebelum pemandunya memberhentikan kereta di tepi jalan berhampiran Bangunan Majlis Perubatan Malaysia, Jalan Tugu, di sini.

Katanya, empat penumpang termasuk seorang wanita tiba-tiba keluar dari kenderaan itu dan melarikan diri menuju ke arah landasan Keretapi Tanah Melayu (KTM).

Susulan penemuan mayat itu, Polis Kuala Lumpur berjaya melakukan tangkapan ke atas tujuh individu warga asing disyaki Indonesia pada petang semalam.

Noor Dellhan berkata, reman tersebut diperolehi menerusi Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah manakala kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau yakin kes dapat diselesaikan dalam masa singkat berkata, siasatan akan diperincikan untuk mengetahui sama ada suspek utama melakukan pembunuhan itu bersama suspek lain.

Katanya, setakat ini pihaknya tidak menerima laporan mengenai kehilangan ahli keluarga. – MalaysiaGazette