Azmi Abu Kassim

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu e-hailing lelaki ditemui mati dalam but sebuah kereta dengan keadaan kakinya diikat dengan kain serta kecederaaan pada muka dan telinga.

Mayat lelaki itu ditemui selepas dua anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi yang terlibat dalam tugas rondaan cegah komuniti mengesan sebuah kereta Perodua Bezza, di bulatan Hishammuddin, berhampiran Bank Negara, di sini, dipandu dalam keadaan mencurigakan kira-kira 6.30 pagi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, MPV polis itu  kemudian telah mengejar kereta berkenaan sebelum pemandunya memberhentikan kereta di tepi jalan berhampiran Bangunan Majlis Perubatan Malaysia, Jalan Tugu, di sini.

Katanya, empat penumpang termasuk seorang wanita tiba-tiba keluar dari kenderaan itu dan melarikan diri menuju ke arah landasan Keretapi Tanah Melayu (KTM).

“Pihak polis kemudian membuat pemeriksaan di dalam kereta itu sebelum telah menemui mayat lelaki terbabit dengan kakinya terikat menggunakan kain manakala muka dan telinganya didapati mengalami kecederaan dan berdarah.

“Hasil siasatan awal polis mendapati kereta berkenaan digunakan khidmat e-hailing Grab Car dan telah didaftarkan atas nama seorang lelaki yang beralamat di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, mangsa dikenalpasti sebagai seorang lelaki tempatan dipercayai berusia dalam lingkungan 41 tahun.

Susulan penemuan mayat itu, Polis Kuala Lumpur berjaya melakukan tangkapan ke atas tujuh individu warga asing disyaki Indonesia pada 4.30 petang tadi.

Empat daripada suspek berkenaan disyaki berkemungkinan terlibat dalam insiden penemuan mayat tersebut.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian itu.

Katanya, bertindak atas penemuan mayat itu polis melancarkan operasi sebelum berjaya menangkap tujuh suspek warga asing disyaki Indonesia dalam dua tangkapan berasingan di ibu negara.

Katanya, lima suspek pertama yang ditangkap dalam jam 12.45 tengahari tadi terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita disyaki warga Indonesia berusia 20 hingga 24 tahun.

“Berpandukan kepada soal siasat ke atas tangkapan itu membawa kepada penahanan dua lagi individu iaitu seorang lagi lelaki dan wanita Indonesia berusia 26 dan 22 tahun,” ujarnya.

Kesemua suspek akan direman esok di Mahkamah Kuala Lumpur bagi membantu siasatan lanjut kes tersebut

Motif dan punca kejadian pembunuhan itusedang disiasat. – MalaysiaGazette