CUEPACS Melayu gaji Adnan Mat
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Pengumuman enam insentif baharu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 hari ini merupakan manifestasi penghargaan kerajaan kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat berkata, ia sememangnya dinanti-nantikan oleh penjawat awam yang sentiasa menjadi barisan hadapan dalam meletakkan negara kembali pada landasan yang kukuh selepas pelbagai cabaran dihadapi.

Katanya, kongres tersebut memahami kerajaan mempunyai kekangan daripada sudut kewangan namun tetap cuba untuk mendengar dan memberi yang terbaik kepada penjawat awam demi menghargai sumbangan yang dicurahkan mereka selama ini.

“Segala insentif yang diumumkan oleh kerajaan ini sekurang-kurangnya mampu memberi kelegaan kepada penjawat awam yang begitu terkesan dengan peningkatan kos sara hidup dan kenaikan inflasi.

“Sebagai contoh pemberian Bantuan Khas Kewangan 2023 berjumlah RM700 kepada anggota Gred 56 ke bawah serta kenaikan gaji tahunan tambahan khas sebanyak RM100.

“Begitu juga dengan penambahbaikan pemberian pergerakan gaji tahunan kepada penjawat awam yang telah mencapai gaji maksimum dan ketiga-tiga insentif ini adalah satu penghargaan yang wajar diberikan di atas pencapaian produktiviti disumbangkan penjawat awam kepada negara yang tidak wajar dinafikan atau dipertikaikan oleh pihak lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berikutan itu, Adnan berkata, pihaknya berharap setiap penjawat awam menjaga produktiviti masing-masing agar ekonomi negara bertambah kukuh dan kerajaan lebih berupaya meningkatkan kebajikan mereka.

SEmentara itu, beliau memberitahu, komitmen kerajaan untuk menyegerakan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam dengan mengambil kira keseluruhan aspek modal insan merangkumi saraan dan perkhidmatan amat dihargai.

“Hal ini (Sistem Saraan Perkhidmatan Awam) wajar dipercepatkan memandangkan sistem saraan sedia ada yang digunakan ketika ini telah dilaksanakan sejak tahun 2002 dan tidak lagi sesuai dengan suasana persekitaran ekonomi serta kos sara hidup semasa.

“Perkara utama yang perlu diberikan perhatian dalam sistem saraan baharu ini adalah meningkatkan gaji minimum penjawat awam kepada RM1,800 sebulan seperti yang dituntut oleh CUEPACS,” ujarnya. – MalaysiaGazette