Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Perkhidmatan Ujian (DNA), Benih Sawit di Orion Biosains Puchong, Selangor. Foto MUHD NA'IM, 30 OGOS 2022.

PUCHONG – Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Dr Mohamadin Ketapi diterima menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) selepas mengambil kira Akta Lompat Parti yang telah diluluskan baru-baru ini.

Dalam masa sama, Presiden Pengganti PBM, Datuk Seri Zuraida Kamaruddin berkata, keputusan tersebut dibuat berdasarkan situasi politik negara yang tidak menentu.

“Kita terbuka memandangkan keadaan politik yang tidak stabil, dan ambil kira akta lompt parti.

“Jadi ahli politik ada perkiraan mereka sendiri. Sebagai parti baru PBM mengalu-alukn siapa nak datang tapi sudah tentu kena ikut polisi yang ada,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Perkhidmatan Ujian Benih Sawit Suresawit.

Mohamadin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama mengumumkan menyertai PBM pada Ahad lalu.

Langkah berkenaan dibuat selepas beliau meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sebelum menyertai Bersatu, Mohamadin merupakan wakil rakyat daripada Parti Warisan Sabah (Warisan).

Sementara itu Zuraida berkata, kedudukan Larry Sng yang akan menyerahkan jawatan Presiden kepadanya akan ditentukan selepas parti itu mengadakan Mesyuarat Agung pada Oktober depan.

“Kita akan adakan mesyuarat agung nanti. semua itu akan dibincang dan  akan dibuat keputusan pada waktu itu,” tambahnya.

Zuraida dijangka mengambil alih jawatan presiden PBM yang kini disandang Larry pada Oktober ini.

Sementara itu, beliau mengesahkan Barisan Nasional (BN) belum memberikan jawapan permohonan PBM untuk menyertai gabungan parti politik berkenaan.

“Belum ada lagi jawapan, kalau ada BN akan keluarkan kenyataan,” tambah beliau. – MalaysiaGazette