KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan hari ini menarik balik surat yang dihantar kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah supaya mengutamakan perbicaraan kes yang melibatkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob berkata, berikutan surat itu ditarik balik dan tiada permohonan sedemikian di mahkamah dan perkara tersebut dianggap selesai.
Collin kemudian menegaskan, tidak ada sesiapa yang mampu mengarahkan mahkamah untuk memberi keutamaan terhadap kes tertentu.
Katanya, perbicaraan yang membabitkan Ahmad Zahid akan diteruskan mengikut tarikh yang telah ditetapkan.
Dalam surat ditandatangani Abdul Malik bertarikh 29 Ogos yang tular semalam itu memohon Collin untuk memberi keutamaan kepada kes yang membabitkan Ahmad Zahid berbanding perbicaraan kes 1MDB yang mana kedua-dua kes tersebut dikendalikan oleh hakim itu.
Permohonan itu dibuat untuk membolehkan perbicaraan kes terbabit yang kini berada di peringkat pembelaan diselesaikan dengan segera.
Surat itu telah dihantar kepada Collin petang semalam dan salinannya telah diberikan kepada pasukan pembelaan Ahmad Zahid.
Terdahulu, peguam utama yang mewakili Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik melahirkan kebimbangan beliau terhadap surat itu dan berharap perbicaraan akan berlangsung mengikut landasan undang-undang.
Sementara itu, sumber yang ditemui MalaysiaGazette turut melahirkan rasa terkejut dengan penularan surat itu.
“Apa yang sedang berlaku? Surat itu memang sahih kemudian apabila banyak sangat reaksi negatif terus ianya di tarik balik. Sangat menyedihkan dan nampak sangat double standard,” ujarnya.
Ahmad Zahid berdepan dengan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dana milik Yayasan Akalbudi.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu diperintah membela diri atas semua pertuduhan itu pada 24 Januari lalu selepas mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Selain itu, Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Pada minggu lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. -MalaysiaGazette
Ni terang2 campurtangan Peguam Negara terhadap institusi kehakiman kumpulan Bershit & BarUAH Council tak nak kritik ker?