MAHANG – Walaupun sekolah mereka terletak di kawasan pedalaman di Kedah, namun ia tidak menghalang warga Sekolah Kebangsaan (SK) Mahang ini untuk turut sama menyambut ulang tahun hari kemerdekaan negara dengan cara tersendiri.
Guru pengakap sekolah itu, Siti Maryam Yusoff berkata, pada tahun ini, murid dan guru tidak ketinggalan untuk bersama-sama menunjukkan semangat patriotisme kepada negara.
Kali ini mereka menyiapkan Jalur Gemilang sepanjang 50 meter.
Jalur Gemilang itu yang dipenuhi cap tangan warga SK Mahang dibawa ke Putrajaya untuk diraikan bersama seluruh rakyat Malaysia yang menyambut dan berhimpun di Dataran Merdeka Kuala Lumpur pagi esok.
Menurut Siti Maryam, Jalur Gemilang itu dihasilkan oleh 150 murid Tahun Empat, Tahun Lima dan Tahun Enam dalam tempoh dua minggu dan dibentangkan di Putrajaya.
“Ini bukti kesungguhan dan semangat kami untuk sama-sama warga Malaysia menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan negara esok.
“Kami dan 150 murid mengambil masa selama dua minggu untuk menyiapkan Jalur Gemilang gergasi ini dan dibawa ke pusat pentadbiran kerajaan di Putrajaya sempena lawatan sambil belajar selama tiga hari.
“Idea untuk menghasilkan bendera panjang ini tercetus selepas pihak sekolah ingin mengadakan rombongan kembara merdeka,” katanya.
Kata Siti Maryam lagi, dengan bermodalkan cat dan kain, mereka bersama-sama menghasilkannya dengan penuh semangat.
Sepatutnya, kata beliau, ia berukuran 65 meter panjang sesuai dengan usia kemerdekaan negara, tetapi mereka hanya dapat menghasilkan 50 meter sahaja.
Rombongan SK Mahang itu akan turut sama memeriahkan Dataran Merdeka di ibu negara esok dan ia bakal menjadi kenang-kenangan terindah bagi warga sekolah berkenaan.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Abd, Rasid Abdul Rahman berkata, usaha itu akan menyuntik semangat kenegaraan khususnya kepada murid untuk dijadikan pedoman pada masa depan.
Jelasnya, ia akan dicadangkan sebagai program tahunan dengan pelbagai pendekatan lain yang akan diambil selepas ini untuk menyemarakkan bulan kemerdekaan.
“Biasanya kita buat kibaran bendera saja, tetapi kali ini kita bawa murid-murid ke Putrajaya yang menjadi mercu tanda sebuah negara merdeka. Semoga semangat dan jati diri ini kekal sampai bila-bila,” katanya. – MalaysiaGazette