GEORGE TOWN – “Tiada apa dalam fikiran sebaik melihat api menjulang tinggi di depan mata kecuali selamatkan isteri saya yang cacat penglihatan”.
Demikian luah Roslan Abdullah, 57, yang kehilangan tempat tinggal selepas rumah pusaka yang didiami pasangan itu di Jalan Gemas, di sini, musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran lewat malam tadi.
Menurut Roslan, kebakaran jam 11.20 malam itu hanya disedari selepas isterinya, Sakinah Bee Syed Mansor, 51, mengadu bunyi bising dari arah belakang rumah selain terasa bahang panas.
“Hanya kami berdua tinggal di rumah pusaka ini dan pada mulanya saya ingatkan bunyi tikus namun terkejut sebaik membuka pintu bilik lihat api menjulang tinggi
“Susulan itu, saya terus keluarkan isteri sebelum cuba selamatkan dokumen penting milik kami namun gagal susulan api marak cepat.
“Tiada apa yang sempat diselamatkan kecuali nyawa kami berdua sebelum melihat rumah ini dijilat api secara keseluruhan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Sementara itu, Sakinah Bee berkata, kehilangan penglihatan sejak 10 tahun lalu akibat masalah saraf sudah cukup membebankan suaminya dan kini mereka diuji pula dengan kehilangan tempat berteduh.
“Bukan mudah untuk kami lalui ini ditambah pula dengan keadaan diri saya yang memerlukan bergantung hidup sepenuhnya atas ihsan suami untuk bergerak ke mana-mana.
“Suami hanya kerja bantu peniaga dengan gaji harian RM20 kerana tidak boleh tinggalkan saya berseorangan dan dengan keadaan kini saya buntu memikirkan nasib kami berdua,” katanya.
Tambah Sakinah Bee, dia berharap ada pihak yang sudi membantu meringankan beban kehidupan mereka dengan membina semula tempat tinggal.
“Memang kami boleh tinggal di rumah adik beradik tapi mungkin hanya untuk sementara waktu kerana tak semua orang selesa untuk melayan saya yang cacat penglihatan ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette