KUALA LUMPUR – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan agar seluruh rakyat Malaysia sentiasa berwaspada terhadap unsur-unsur dalam dan luar negara yang boleh menghancurkan apa yang sedang dinikmati sekarang.
Sehubungan itu, baginda menyeru rakyat agar terus menghayati erti sebenar kemerdekaan, di samping menyuburkan lagi rasa cinta kepada tanahair dan menyemarakkan semangat patriotisme terhadap nusa dan bangsa.
Baginda berharap rakyat tidak “buta sejarah” dengan melupakan jerih perih perjuangan serta pengorbanan orang-orang terdahulu untuk mencapai kemerdekaan negara ini.
”Dengan mengetahui sejarah negara sendiri, rakyat Malaysia boleh merancang masa depan negara dengan lebih baik dan berkesan,” titah Sultan Selangor bagi menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia Ke-65 kepada seluruh rakyat.
Baginda juga mahu rakyat kekal hidup aman dalam suasana yang harmoni, hormat menghormati, bersatu padu dan saling bertoleransi dalam semua aspek kehidupan.
Untuk itu, baginda menyeru seluruh rakyat berganding bahu dalam memperkukuh ekonomi dan membangunkan negara.
”Jangan sesekali campur adukkan isu-isu politik, perkauman dan agama yang boleh mencetus pertelagahan dan memecah belahkan rakyat,” titah baginda. – MalaysiaGazette