Peguam, Jagjit Singh bercakap pada sidang media berkaitan keputusan yang membabitkan anak guamnya, Datin Seri Rosmah Mansor atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar 369 sekolah luar bandar Sarawak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 01 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Peguam mewakili Datin Seri Rosmah Mansor membabitkan kes rasuah berhubung projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion melahirkan rasa terkejut dan sedih dengan sabitan hukuman serta hukuman terhadap anak guamnya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta selepas didapati bersalah atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah enam tahun lalu.

Andainya gagal membayarnya maka hukuman penjara Rosmah ditambah 30 tahun lagi.

Datuk Jagjit Singh ketika sidang media di pekarangan mahkamah berkata, bagaimana Rosmah mampu membayar denda sebanyak itu yang mencecah hampir RM1 bilion.

Katanya, denda itu juga merupakan satu sejarah baharu dalam perundangan negara apabila tertuduh dikenakan denda sebesar itu.

“Hari ini hukuman itu telah dijatuhkan dan jumlah denda mencecah RM970 juta iaitu hampir RM1 bilion. Siapa antara kita yang ada wang sebanyak itu?

“Anak guam saya sendiri tidak mempunyai kemampuan seumpama itu untuk membayar wang sebanyak ini,” katanya lagi.

Justeru itu, pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini dalam masa terdekat.

“Ya, saya akan mengemukakan notis rayuan. Kita buat rayuan ikut masa diberi (mahkamah), mungkin esok. Kita ada 10 hari untuk merayu terhadap semua kes itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Jagjit melahirkan rasa syukur kerana Rosmah dapat pulang ke rumahnya malam ini dan bersama keluarganya.

“Rosmah dibebaskan dengan jaminan ditetapkan mahkamah. Syukur kepada tuhan, Rosmah boleh pulang ke rumah malam ini untuk bersama keluarga, syukur kita pada tuhan,” ujarnya.

Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor meninggalkan mahkamah sejurus selesai mengikat jamin selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar 369 sekolah luar bandar Sarawak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 01 SEPTEMBER 2022.

Rosmah yang kelihatan sedih dan kecewa sehingga menangis berkali-kali ketika disabitkan salah dan jatuh hukum oleh Mahkamah Tinggi hari ini kelihatan lebih tenang ketika keluar dari mahkamah menuju ke keretanya.

Beliau sempat bercakap dengan beberapa penyokongnya selain pemimpin parti sebelum ke kereta dan melambai kepada semua.

Ketika prosiding hari ini, Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda itu ditangguhkan hingga Rosmah mengemukakan rayuan.

Hari ini juga Rosmah gagal dalam permohonan supaya Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar dan memberikan keputusan dalam kes rasuah dihadapinya membabitkan projek tenaga solar di sekolah luar bandar Sarawak.

Ketika menolak permohonan untuk menggugurkan dirinya daripada kes berkenaan, Mohamed Zaini berkata, draf penghakiman itu adalah pendapat daripada Bahagian Penyelidikan.

Mohamed Zaini berkata, dua dokumen yang kononnya draf penghakiman kes solar dihadapi Rosmah itu tidak disediakan untuknya atau diminta olehnya untuk disediakan. -MalaysiaGazette