MELAKA – Seramai 1,110 pegawai syarak di Melaka bakal menikmati kenaikan elaun RM50 sehingga RM200 sebulan berkuat kuasa bulan depan.
Ketua Menterinya, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, ia melibatkan imam, bilal, noja dan pengurus jenazah wanita (PJW) di 185 buah masjid di seluruh negeri.
Menurutnya, peningkatan kadar baharu itu selepas ia tidak diperbaharui sejak 2014 melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM127,650 sebulan.
“Kenaikan kadar baharu berkuatkuasa Oktober ini menyaksikan imam 1 dan imam 2 masing-masing memperoleh RM930 dan RM920 sebulan, meningkat RM50.
“Elaun bilal dan noja pula masing-masing dinaikkan kepada RM500 berbanding RM300 dan RM310 sebelum ini, manakala PJW 1 dan 2 menjadi RM300 berbanding dahulu RM100,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya kali terakhir elaun pegawai syarak negeri Melaka dinaikkan adalah pada tahun 2014 yang hanya melibatkan bilal, noja dan PJW.
“Kenaikan ini sekaligus menyaksikan jumlah tambahan peruntukan Majlis Agama Islam (MAIM) adalah sebanyak RM1.5 juta setahun.
“Secara keseluruhanya, MAIM membelanjakan lebih RM3.88 juta setahun untuk perbelanjaan elaun pegawai syarak,” tambahnya. – MalaysiaGazette