Steven Choong Shiau Yoon
Steven Choong Shiau Yoon

KUALA LUMPUR – Kerajaan Kemboja perlu bekerja lebih keras mengesan dan menyelamatkan mangsa-mangsa penipuan sindiket yang menawarkan pekerjaan berpendapatan tinggi di negara itu.

Naib Presiden Kanan Parti Bangsa Malaysia (PBM), Steven Choong Shiau Yoon berkata, sindiket berkenaan masih aktif mencari mangsa untuk melakukan kegiatan yang menyalahi undang-undang Kemboja.

“PBM percaya bahawa sindiket penipuan pekerjaan perlu dibanteras secara bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan mangsa yang ditipu dan dipaksa melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang di Kemboja.

“Langkah itu juga bertujuan mengelakkan lebih ramai lagi daripada menjadi mangsa kegiatan penipuan pekerjaan di negara berkenaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tebrau mengulas tentang laporan media tempatan dan asing berhubung kegiatan penipuan tersebut di Kemboja di mana mangsa-mangsa yang diselamatkan mendakwa mereka didera secara fizikal jika enggan mematuhi arahan sindiket.

Sindiket yang dikatakan beroperasi di Malaysia dan Kemboja itu menggunakan modus operandi yang menawarkan gaji lumayan dengan bekerja di pusat pangilan melalui aplikasi media sosial.

Steven menambah, PBM sangat bimbang tentang kegiatan penipuan pekerjaan itu, lebih-lebih lagi apabila media tidak melaporkan jumlah mangsa yang masih belum diselamatkan. – MalaysiaGazette