badrul hisham shaharin rafizi
Badrul Hisham Shaharin

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli tidak sepatutnya berlagak seolah-olah beliau yang bertanggungjawab mendedahkan isu kapal tempur pesisir (LCS) kepada rakyat.

Pengarah Operasi Pilihan Raya Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Johor, Badrul Hisham Shaharin berkata, rujukan utama kes itu adalah laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang di mana laporan tersebut telah dinyahsulit kepada umum untuk pengetahuan awam.

Bagaimanapun, beliau mendakwa Rafizi sengaja merujuk laporan yang tidak sahih, palsu dan bermasalah yang dikatakan tidak siap.

“Sikap suka landing atas usaha pihak lain untuk jadi hero dan tak peduli walau mampu sabotaj usaha banyak pihak dalam dedahkan sesuatu perkara memang perangai Rafizi.

“Bila dia gelojoh guna maklumat tidak betul, dia bukan sahaja sedang berbohong tapi sebenarnya sedang mengalih tumpuan ke arah salah dan pesalah sebenar mula mampu senyum.

“Khususnya kalau saman sivil dilakukan dan larangan membicarakan kes ini di khalayak umum diperolehi. Malah perbicaraan kes boleh melambatkan siasatan dan tindakan pihak berkuasa lain,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Pada 30 Ogos lalu, laporan polis dibuat oleh Pegawai Tugas-Tugas Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad, Sayed Ahmad Mui’izzuddin Al-Sayed Mohamad berhubung kenyataan Rafizi yang mengaitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) itu dan wanita bernama Zainab Mohd. Salleh yang didakwa sebagai isterinya dalam penyelewengan projek LCS.

Abd. Latiff turut mendakwa Rafizi seorang pembohong kerana memfitnah dan melakukan tohmahan ke atas diri dan keluarganya semata-mata untuk kepentingan politik.

Badrul Hisham seterusnya menambah, polis juga telah merakam kenyataan Abd. Latiff sekaligus menafikan tuduhan Rafizi kononnya hanya beliau sahaja yang dipanggil memberi keterangan.

“Hakikatnya polis bertindak kerana beberanian pertahan integriti di mana pihak Abd. Latiff buat laporan kerana itu rakaman kenyataan diambil dari Abd. Latiff dahulu sebagai pihak yang buat laporan dan baru ambil Rafizi.

“Menipu dan ketagih untuk menjadi hero, hijack usaha pihak lain memang perangai Rafizi,” katanya yang juga dikenali sebagai Che’gu Bard. – MalaysiaGazette